‘Kalau rindu cakap rindu’
SHAH ALAM - Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh menyindir provokasi dibuat pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan gambarnya dan isu KK Mart di sepanduk kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.
Dr Muhamad Akmal berkata, perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana beliau tidak bertanding di DUN berkenaan.
“Saya tak bertanding pun ada muka kat ‘banner’ ya di Kuala Kubu Baharu.
“Kalau rindu cakap rindu.
“Kita jumpa depan-depan baru jantan, setakat letak muka orang kat ‘banner’ dan lepas itu lari, pondan namanya tu,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Khamis.
Sebelum ini, tular di media sosial sepanduk berbahasa Mandarin digantung di tepi jalan yang tertulis ayat ‘anda boleh boikot KK Mart, jangan boikot KKB dan undi DAP‘ menuai pelbagai reaksi warganet.
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau tersebut berang dengan segelintir penyokong parti politik mempamerkan replika yang mencantumkan logo parti UMNO dan DAP ketika penamaan calon.
Tambahnya, berkempen dengan cara menghina pihak lawan bukan pendekatan politik matang sebaliknya mencemarkan imej agama Islam di mata orang lain.
PRK Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Bebas.
PH diwakili Pang Sock Tao, PN pula Khairul Azhari Saut, Hafizah Zainuddin (PRM) dan Nyau Ke Xin (Bebas) bakal merebut DUN Kuala Kubu Baharu ketika hari penentuan pada 11 Mei nanti.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!