Proton sasar tambah baik kualiti pengeluaran, tingkat keyakinan pelanggan

Juruaudit Proton, Nari Azahar Baserah (kanan) melakukan penilaian ke atas kenderaan Proton X50 pada Sesi Taklimat Inisiatif Kualiti Proton di Kilang Proton pada Khamis. Foto Bernama
Juruaudit Proton, Nari Azahar Baserah (kanan) melakukan penilaian ke atas kenderaan Proton X50 pada Sesi Taklimat Inisiatif Kualiti Proton di Kilang Proton pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

PERUSAHAAN Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton) akan menambah baik kualiti pengeluaran mereka menerusi pengurangan peratusan markah Audit Produk Pelanggan Global (GCPA).

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah berkata, sejak 2019, terdapat 55 peratus pengurangan dalam markah GCPA mereka yang menunjukkan peningkatan keseluruhan dalam kualiti pengeluaran sehingga tahun lepas.

"Ada juga (impak GCPA) sebab apabila orang tengok (sesuatu produk) ada kualiti, mereka ada keyakinan (untuk membeli kenderaan).

"GCPA ada memberi kesan dan menyumbang kepada jualan kereta sebab ia akan menambah keyakinan orang ramai untuk membeli kenderaan Proton jika tahu kebarangkalian rosak itu kurang,” katanya pada sesi taklimat kepada media mengenai inisiatif kualiti Proton di Proton City, Tanjung Malim, Perak pada Khamis.

Roslan bercakap kepada media pada Sesi Taklimat Inisiatif Kualiti Proton di Kilang Proton pada Khamis.
Roslan bercakap kepada media pada Sesi Taklimat Inisiatif Kualiti Proton di Kilang Proton pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada GCPA itu memberi impak secara langsung kepada jualan kenderaan mereka.

GCPA ialah penunjuk kualiti produk yang menilai isu dihadapi barisan pengeluaran berdasarkan tahap keterukan.

Sementara itu, Roslan berkata, dari segi kualiti pasaran Proton sejak 2019, kira-kira 1,005 isu telah diselesaikan bersamaan dengan peningkatan dalam aspek itu (kualiti pasaran) sebanyak 44 peratus.

Artikel Berkaitan:

Mengenai kualiti pembekal mereka, Roslan berkata, terdapat peningkatan sebanyak 43 peratus dari segi jumlah pembekal yang dapat memenuhi standard minimum BBB (Biro Perniagaan Lebih Baik).

Ditanya sama ada terdapat usaha untuk Proton meneroka pasaran baharu di Eropah, Roslan berkata, setakat ini, mereka tidak memberi tumpuan terhadap perkara itu.

"Kami belum memberi tumpuan kepada Eropah. Kami hanya mengenal pasti beberapa negara sahaja, dan 70 peratus pasaran adalah pemanduan di sebelah kiri. Untuk itu, kami perlu memenuhi beberapa keperluan.

"Keperluan tertentu akan meningkatkan kos kami dan kami perlu mengimbanginya,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!