Hukuman mati bekas pekerja bunuh majikan hamil diganti penjara 38 tahun

Mahkamah Persekutuan pada Khamis menggantikan hukuman mati yang dijatuhkan ke atas seorang bekas pekerja resort dengan pemenjaraan selama 38 tahun bagi kesalahan membunuh majikannya, hampir 16 tahun lepas.
Mahkamah Persekutuan pada Khamis menggantikan hukuman mati yang dijatuhkan ke atas seorang bekas pekerja resort dengan pemenjaraan selama 38 tahun bagi kesalahan membunuh majikannya, hampir 16 tahun lepas.
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan di sini pada Khamis menggantikan hukuman mati yang dijatuhkan ke atas seorang bekas pekerja resort dengan pemenjaraan selama 38 tahun bagi kesalahan membunuh majikannya yang hamil lima bulan, hampir 16 tahun lepas.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Hamzah Osman untuk menyemak semula hukuman mati terhadapnya mengikut Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023.

Ketika menyampaikan keputusan itu, Harmindar turut mengarahkan agar Hamzah dikenakan 12 sebatan dan hukuman penjaranya berjalan dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 21 Ogos 2008.

Hamzah, 33, pada mulanya didapati bersalah dan dihukum mati oleh Mahkamah Tinggi pada 2014 namun pada 2017, Mahkamah Persekutuan memerintahkan agar kes itu dibicarakan semula.

Pada 2018, Mahkamah Tinggi Ipoh mendapati Hamzah bersalah dan menjatuhi hukuman mati kerana membunuh Norazlida Iden, 31, di Bilik 202, Suria Beach Resort, Teluk Nipah, Pulau Pangkor, Perak pada 1 pagi 18 Ogos 2008.

Rayuannya ditolak oleh Mahkamah Rayuan pada 2018 dan Mahkamah Persekutuan pada 2020.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Dhiya Syazwani Izyan Mohd Akhir membantah permohonan Hamzah agar hukuman mati yang dijatuhkan terhadapnya diganti dengan pemenjaraan kerana mangsa hamil lima bulan dan insiden itu telah menyebabkan dua nyawa melayang.

Bagaimanapun, peguam Ali Munawar Razak meminta mahkamah memberi peluang kedua kepada anak guamnya atas alasan Hamzah berusia 18 tahun ketika kejadian dan dia menyesali perbuatannya.

Artikel Berkaitan:

Menurut fakta kes, Hamzah yang diambil bekerja di bahagian penyelenggaraan sebagai pengemas oleh mangsa dikatakan mempunyai masalah disiplin serta sering ditegur oleh wanita itu dan akhirnya diberhentikan kerja.

Mangsa bagaimanapun membenarkan Hamzah tinggal di resort itu sementara dia mencari kerja baharu.

Pada hari kejadian, suami mangsa dimaklumkan bahawa wanita itu meninggal dunia dalam bilik tersebut.

Dia kemudian mendapati barangan mangsa seperti wang tunai, barang kemas, laptop, telefon bimbit dan kamera digital telah dicuri.

Hasil bedah siasat mendapati kecederaan di bahagian kepada mangsa adalah disebabkan oleh pukulan berulang kali daripada objek tumpul dan keras.

Polis menahan Hamzah bersama-sama dua lelaki tiga hari kemudian dan merampas barang kemas serta telefon bimbit mangsa daripadanya.

Turut dirampas tujuh unit barang kemas milik mangsa dari sebuah kedai emas di mana Hamzah menjual barangan itu pada 19 Ogos 2008 dengan harga RM1,500. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!