Iktibar buat skuad Piala Uber negara
BEKAS pemain legenda badminton negara, Datuk James Selvaraj menyifatkan pentas Piala Uber saingan berintensiti tinggi yang akan mematangkan pemain wanita negara.
Malah James juga yakin pemain-pemain akan lebih cepat belajar daripada kesilapan di Chengdu 2024 berkenaan.
“Prestasi skuad Uber negara teruk disebabkan kita menghantar pemain-pemain junior, tanpa pemain-pemain senior seperti Pearly Tan-M Thinaah.
“Biarpun begitu, ini pendedahan yang baik kerana mereka akan lebih mengetahui sejauh mana tahap mereka di Chengdu 2024 yang berbeza dari Sukan SEA.
“Seseorang pemain yang bermain dalam Piala Uber secara tidak langsung akan mendapat pengalaman gelanggang yang akan mematangkan permainan mereka,” katanya yang percaya pemain-pemain negara memperolehi pengalaman.
James yang juga Bekas Pengarah Prestasi Tinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berharap jurulatih skuad Uber negara dapat menggunakan pakar psikologi dalam mencari punca kepada kemeruduman
“Seperti yang selalu saya katakan sebelum ini, pemain-pemain kita memerlukan khidmat pakar psikologi dalam menangani masalah mereka.
“Kekalahan kepada Taiwan dengan semangat melawan amat berbeza ketika tewas besar kepada Thailand.
"Selain tekanan persekitaran satu lagi punca mungkin yang perlu diberikan perhatian adalah aspek psikologi,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.
Sementara itu, bekas Olimpian Nazmizan Muhammad yang juga pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan dan Komunikasi Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) percaya pemain batch Chengdu 2024 sudah mendapat pengajaran terbaik beraksi di pentas tertinggi sukan berkenaan.
Tambah Nazmizan, pemain-pemain juga seharusnya berterima kasih kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) apabila memberikan pendedahan lebih awal kepada skuad muda negara.
“Keputusan kita menghantar skuad junior sesuatu yang bagus sebagai pendedahan, namun kita juga harus realistik wujudnya jurang ketara apabila berdepan Taiwan dan Thailand.
“Tambah pula pasukan junior kita berdepan pemain senior pasukan lawan yang jauh lebih berpengalaman dan matang gaya permainannya serta berada di ranking lebih tinggi.
“Biarpun begitu kita harus puji kemahuan mereka masih tinggi untuk bangkit ketika menewaskan Australia dalam perlawanan terakhir kumpulan,” kata Nazmizan yang turut terlibat dalam mengilap pelapis olahraga di UniMAP percaya prestasi pelapis negara akan meningkat selepas ini.
Pada masa sama Nazmizan menggesa semua pihak berlapang dada menerima keberhasilan skuad wanita negara di temasya tersebut.
“Saya biasa mengendali budak muda dan apabila kita hantar pelapis, seharusnya sudah boleh menjangkakan sejauh mana hasil mampu diraih dalam pertandingan.
“Namun sekiranya mereka mampu pergi lebih jauh daripada jangkaan kita, bermakna mereka sudah berjaya menyerap tekanan.
“Sekiranya keputusan sebaliknya bermakna pemain, jurulatih dan pakar psikologi harus melakukan kerja rumah lebih banyak lagi,” katanya yang berharap lebih banyak pertandingan kompetitif diberikan kepada pemain-pemain wanita negara pada masa depan.
Sebagai rekod, cabaran skuad Piala Uber Chengdu 2024 berakhir di peringkat kumpulan apabila tewas dua dari tiga perlawanan di Gimnasium Pusat Sukan Zon High-Tech, China.
INFO
Skuad Piala Uber Chengdu 2024 negara diketuai Teoh Mei Xing (27) dibarisi pemain muda dengan beregu terdiri daripada pemain berusia 18 tahun Siti Zulaikha Azmi; Zhing Yi (21); Lo Ee (21); Chan Wen Tse (19) dan Go Pei Kee (22) manakala perseorangan diketuai Goh Jin Wei (24); K Letshanaa (20); Wong Ling Ching (20) dan Siti Nurshuhaini Azman (19).
Kumpulan B
Malaysia 1-4 Taiwan
Malaysia 0-5 Thailand
Malaysia 4-1 Australia
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!