Politik Indonesia selepas Pilpres 2024
PARTI Demokratik Perjuangan (PDI-P) tidak lagi menganggap Presiden Joko Widodo (Jokowi) sebagai anggota parti itu.
PDI-P juga mengistiharkan Timbalan Presiden terpilih Gibran Rakabuming Raka, anak sulung Jokowi juga bukan sebahagian daripada parti itu lagi.
Hal itu diumumkan oleh Komaruddin Watubun, Ketua Bahagian Etik PDIP-P. PDI-P adalah parti terbesar Indonesia yang diketuai oleh Megawati Sukarnoputri yang juga mantan Presiden Indonesia yang kelima dan satu-satunya presiden wanita negara itu.
Kekecewaan Megawati dan PDI-P dapat difahami. Jokowi adalah tokoh dokongan PDI-P dari percubaannya untuk menjadi Walikota Solo, kemudiannya Gabenur Jakarta dan Presiden Indonesia.
Megawati dan PDI-P banyak berkorban untuk memastikan kemenangan Jokowi sebanyak dua penggal sebagai Presiden.
Bagaimanapun, Jokowi yang sepatutnya menyokong pasangan calon (paslon) PDI-P untuk pilihan raya presiden (pilpres) 2024 telah berpaling tadah.
Beliau sebaliknya menyokong paslon Prabowo Subianto-Gibran. Campur tangan Jokowi, penggunaan petugas dan kemudahan kerajaan serta pemberian bantuan sosial (bansos) dikatakan menyebabkan Prabowo-Gibran menang besar dengan lebih 58 peratus jumlah undian.
Paslon dukungan PDI-P, Ganjar Pranowo dan Mahfud MD hanya memperoleh 16 peratus undian, malah ketinggalan daripada paslon Anies Baswedan-Muhaimin Iskandar yang memperoleh 28 peratus undian.
Tamparan yang lebih hebat bagi PDI-P adalah Ganjar-Mahfud tewas di dua tempat yang dianggap kubu kuat parti itu – Jawa Tengah dan Bali. Ganjar pernah menjadi Gabenur Jawa Tengah selama dua penggal.
Dalam pemilihan umum (pemilu) serentak 2024, PDI-P merupakan parti dominan dalam pemilihan anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) kali ini, dengan 110 kerusi atau 18.9 peratus. Tetapi dalam pilpres prestasinya begitu buruk sekali.
Seperti juga paslon Anies-Muhaimin, PDI-P membawa kes kekalahan itu ke mahkamah tertinggi negara itu, Mahkamah Konstitusi. Apa yang dianggap sebagai “gugatan keputusan pilpes” dikemukakan kepada lapan orang hakim yang diketuai oleh Suhartoyo.
Sekadar catatan, Suhartoyo adalah salah seorang daripada empat hakim yang menolak penurunan usia untuk calon presiden (capres) dan calon wakil presiden (cawapres) dari 40 tahun yang ditetapkan oleh Undang-Undang Dasar (UUD) negara itu.
Dalam sebuah tulisan dalam harian Kompas pada 8 April, dua minggu sebelum MK membacakan keputusan, Megawati mengingatkan tentang peranan “kenegarawanan” yang harus dimainkan oleh hakim MK.
Mereka harus membuat keputusan berdasarkan conscience. Banyak pihak menganggap tulisan itu adalah “ultimatum moral” yang disampaikan oleh Megawati.
Tetapi dengan keputusan 5-3, MK mendapati gugatan itu tidak punya asasnya. Maka itu MK memutuskan permohonan pemohon "tidak beralasan menurut hukum seluruhnya". Suhartoyo sendiri menolak gugatan itu. Tiga hakim yang memberikan pandangan berbeza adalah Saldi Isra, Arief Hidayat dan Enny Nurbaningsih.
Keputusan MK ini tentulah menimbulkan perdebatan hangat. Banyak pihak menganggap keputusan itu adalah hari gelap bagi demokrasi Indonesia.
Megawati sudah menunjukkan kekecewaannya kepada Jokowi apabila beliau enggan bertemu Presiden itu sebelum Pilpres lagi.
Beliau memang terkenal dengan hati kerasnya. Sudah 20 tahun beliau dikalahkan oleh Susilo Bambang Yudhoyono (SBY), yang sepatutya terus menyokongnya sebagai presiden. Perang dingin di antara kedua mantan presiden ini berlanjutan sehinggalah PDI-P berjaya menawan kerusi presiden pada tahun 2014 melalui Jokowi. Tetapi Jokowi pula menderhakai PDI-P dan sekali lagi Megawati kecewa dan marah.
Apakah yang akan berlaku selepas ini? Apakah Prabowo akan meneruskan dasar Jokowi? Apakah legasi Jokowi akan dipertahankan oleh Prabowo mengambil kira bahawa anak Jokowo adalah timbalannya? Atau Prabowo akan menunjukkan taring sebenarnya dengan memulakan langkah baharu, mengenepikan Jokowi dan keluarganya sekali?
Pada masa inipun kurang enam bulan sebelum Prabowo dinobatkan secara rasmi pada bulan Oktober 2024 sebagai presiden, pelbagai langkah dan manoeuvre sedang berlaku.
Parti-parti politik sudah mula mendampingi Prabowo. Prabowo juga sudah mula bergerak mencari rakan kongsi “Koalisi Gemoy” – ungkapan yang popular semasa kempen pilpres merujuk pada tubuh badannya.
Sewaktu pilpres, kita melihat gabungan pencabar yang amat kuat terdiri dari PDI-P, Parti Kebangkitan Bangsa (PKB), Parti Nasional Demokrat (Nasdem) dan Parti Keadilan Sejahtera (PKS). Tiga parti terakhir itu mendukung Anies-Muhaimin.
Koalisi Prabowo-Gibran terdiri dari Parti Gerakan Indonesia Raya (Gerindra) yang dipimpinnya, Parti Golongan Karya (Golkar), Parti Amanat Nasional (Pan) dan parti Demokrat (PD).
Dalam pemilihan wakil ke DPR kali ini, PDI-P mendapat tempat terbanyak dengan 110 kerusi atau 18.9 peratus kerusi, diikuti okeh Golkar dengan 102 kerusi atau 17.5 peratus dan Gerindra dengan 86 kerusi atau 14.8 peratus.
Parti-parti yang lain adalah Nasdem dengan 70 kerusi (12.0 peratus), PKB dengan 68 kerusi (11.7 peratus), PKS dengan 53 kerusi (9.1 peratus), Pan dengan 49 kerusi (8.4 peratus) dan PD dengan 42 kerusi (7.2 peratus).
Angka-angka ini boleh berubah disebabkan ada beberapa buah kerusi yang masih dipertikaikan di mahkamah.
Dalam politik tidak ada musuh atau kawan yang kekal. Dua parti utama yang mendokong Anies kini secara terbuka menyatakan sokongan kepada Prabowo, yakni Nasdem dan PKB.
Menariknya Ketua Umum (Ketum) PKB adalah Muhaimin yang merupakan calon Timbalan Presiden untuk Anies. Muhaimin nampaknya sudah meninggalkan Anies demi kuasa dan kedudukan. Ketum Nasdem, Surya Paloh, awal-awal sudah menyatakan pendiriannya untuk bergabung dengan Prabowo apabila Anies gagal menjadi presiden.
Buat masa ini nampaknya hanya PDI-P yang akan kekal sebagai pembangkang. PKS sendiri belum membuat keputusan.
PDI-P nampaknya akan menjadi pembangkang bersendirian sekiranya PKS memutuskan untuk menyertai Kerajaan Prabowo.
Dengan itu kelak Kerajaan Prabowo akan menguasai 81 peratus perwakilan DPR, paling besar dalam sejarah pasca-Reformasi. Soalannya, apakah itu bagus bagi demokrasi Indonesia?
Mantan Timbalan Presiden Indonesia, Jusuf Kalla mengingatkan Prabowo tentang pentingnya pembangkang yang kuat dalam pemerintahan. Dengan adanya pembangkang akan mengingatkan pemerintah tentang peranannya yang sebenar. Menurut beliau ada bahayanya jikalau tidak ada pembangkang yang berkesan.
* Tan Sri Johan Jaaffar ialah Tokoh Wartawan Negara. Beliau berada di Pulau Jawa sewaktu pemilihan umum (pemilu) Indonesia 2024.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!