Gelombang protes 1 Mei di seluruh dunia
PARIS - Ribuan penunjuk perasaan berarak untuk menyokong hak pekerja secara serentak di seluruh dunia pada Rabu.
Sambutan hari buruh itu turut mencetuskan gelombang demonstrasi yang sudah menjadi acara tahunan bagi golongan pekerja.
Dari Seoul, Istanbul hinggalah ke Berlin, penunjuk perasaan serata benua berhimpun bagi menuntut gaji lebih berpatutan berikutan kos sara hidup yang semakin meningkat dek krisis ekonomi melanda di kebanyakan negara.
Terdapat juga insiden pertempuran setelah protes di beberapa lokasi bertukar ganas.
“Kami bekerja untuk kelangsungan hidup, bukan untuk menempah kematian,” menurut slogan tertera pada sepanduk seorang penunjuk perasaan di Manila, Filipina.
Di ibu kota Jerman, seorang penunjuk perasaan membawa sepanduk tertera ‘orang kaya mahukan perang, sedangkan golongan belia mahukan masa hadapan yang cerah’.
Berbeza pula dengan situasi protes di Colombo, Sri Lanka, peserta protes bertindak lantang bersuara memberi amaran kepada pemerintah supaya tidak mengganggu tempoh waktu bekerja selama lapan jam seperti ditetapkan sebelum ini.
Di Seoul, ribuan penunjuk perasaan meluahkan rasa tidak puas hati mereka menerusi lagu yang dinyanyikan beramai-ramai sambil melaungkan slogan propekerja di tengah-tengah kritikan semakin meningkat terhadap kerajaan konservatif pimpinan Presiden Yoon Suk Yeol dan dasar antiburuh di bawah pemerintahannya.
Di ibu kota Indonesia, penunjuk perasaan membawa sepanduk dan memakai topi yang tertera slogan membantah undang-undang Penciptaan Pekerjaan 2020 yang didakwa membawa kemudaratan kepada golongan pekerja dan alam sekitar.
Meskipun situasi agak tegang pada 1 Mei, kebanyakan peserta protes dilaporkan kembali bekerja seperti biasa pada keesokan harinya. - Agensi
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!