'Tak kaya tapi rezeki selalu ada'
SHAH ALAM - Biarpun tidak meraih keuntungan lumayan dalam perniagaan makanan, namun ia tidak menjadi penghalang buat seorang wanita untuk memberi juadah percuma kepada golongan memerlukan.
Pemilik D'Kaseh Cake Bakery, Halimahtussadiah Darus berkata, kaedah melekatkan tiket makanan atau resit yang telah dibayar di luar premis itu disediakan kepada sesiapa sahaja untuk mengambil dan menebusnya bagi mendapatkan hidangan percuma.
Menurutnya, tawaran tersebut bertujuan untuk berkongsi rezeki dengan masyarakat.
"Alhamdulillah rezekinya sentiasa ada walaupun tak kaya. Sebelum ini, saya memang ada membuat promosi istimewa untuk pelanggan-pelanggan, contohnya belanja mereka makan dan ada juga hari yang saya buat pemotongan harga bagi ibu-ibu hamil.
"Tapi setelah berfikir panjang dalam mencari jalan bagi membantu sesiapa sahaja yang tidak cukup rezeki untuk makan, saya mendapat idea untuk membuat tiket makanan percuma ini.
"Maksud saya bukan hanya fakir miskin, tetapi lebih kepada pelajar-pelajar yang tidak cukup duit, individu yang belum mendapat gaji mahupun orang yang tidak sempat makan sebelum pergi solat Jumaat. Jadi mereka hanya datang ambil tiket dan tebus," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Sebelum ini, perkongsian di Facebook D'Kaseh Cake Bakery, Muar, Johor mengenai kaedah penawaran makanan percuma yang ditampal di pintu masuk premis mereka mendapat perhatian ramai.
Perkongsian berkenaan menjadi tular di media sosial tersebut dan secara tidak langsung ada di antara netizen yang ingin turut serta meraih pahala dengan memberi sumbangan untuk inisiatif berkenaan.
Menjengah ke ruangan komen hantaran itu, ramai warga maya memuji usaha yang dilakukan Halimahtussadiah dengan diiringi doa dikurniakan rezeki melimpah ruah serta berharap agar inisiatif yang sama turut dicontohi peniaga lain.
Menurutnya yang mesra dipanggil Kaseh, sambutan warga tempatan kepada usaha yang dilakukan sangat positif.
Malah, ujar wanita yang berusia 47 itu, semakin hari semakin ramai individu yang turut serta melakukan infak bagi tawaran tersebut.
"Alhamdulillah ramai yang datang dan merebut peluang untuk menebus makanan percuma. Biasa saya sediakan menu khas yang ada makanan dan air sekali. Menu pula berbeza bagi mereka pilih antaranya nasi sizzling, spaghetti carbonara, yee mee sizzling serta spaghetti bolognese.
"Kini semakin ramai yang sertai infak, jadi makin banyak tiket yang boleh orang ramai tebus. Sebenarnya saya sudah lakukan tawaran tiket makan percuma ini sejak tahun lalu. Hampir setiap hari ada dan Insya-ALLAH saya akan teruskan selagi wujud perniagaan saya ini," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!