Bayer Leverkusen bawa bekalan selesa ke Bay Arena
BAYER Leverkusen membawa pulang bekalan dua gol selepas menewaskan AS Roma, 2-0 dalam perlawanan separuh akhir pertama Liga Europa di Stadium Olimpico, Rome, Itali.
Dua gol setiap babak bermula dengan jaringan Florian Wirtz minit ke-28 diikuti Robert Andrich minit ke-73 membolehkan wakil Jerman berkenaan mengekalkan momentum cemerlang saingan tahap dua kejuaraan kelab Eropah itu.
Kemenangan skuad kendalian Xabi Alonso itu menyaksikan juara Jerman tersebut semakin menghampiri final Eropah pertama dalam tempoh 22 tahun.
Leverkusen yang juga finalis Piala Jerman, yang baru-baru ini memintas kelab Itali Juventus untuk rekod tanpa kalah paling lama dalam semua pertandingan Eropah, tewas 2-1 kepada Real Madrid pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara 2002.
Sebagai rekod, Bayer memenangi satu-satunya kejuaraan Eropah apabila menjulang Piala UEFA pada 1988.
Perlawanan kedua menentang angkatan Daniele De Rossi akan berlangsung di Stadium Bay Arena, Leverkusen Jumaat depan dan pemenang perlawanan akan menentang Olympique de Marseille atau Atalanta pada perlawanan akhir di Stadium Aviva Dublin.
Sementara itu, kelab Ligue 1 Perancis, Marseille berdepan tugas sukar aksi timbal balik kedua selepas terikat 1-1 menentang Atalanta dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.
Kelab Serie A itu terlebih dulu di depan hasil jaringan Gianluca Scamacca minit ke-12 sebelum Jonathan Claus mengikat perlawanan dengan gol penyamaan sembilan minit kemudian (m-20) untuk timbal balik kedua di Stadium Gewiss, Bergamo, Itali pada Jumaat depan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!