Nasib berbeza Aston Villa, Fiorentina
NASIB berbeza mengiringi tuan rumah wakil England, Aston Villa dan pasukan dari Itali, Fiorentina menjelang perlawanan timbal balik kedua Liga Konferensi pada minggu depan.
Aston Villa kendalian Unai Emery berdepan tugas getir menjelang perlawanan kedua selepas tewas 2-4 kepada kelab Greece, Olympiacos dalam perlawanan separuh akhir pertama di Villa Park.
Bintang Maghribi, Ayoub El Kaabi meledak hatrik dengan gol minit ke-16, m-29, dan penalti minit ke-56 sebelum pemain Argentina, Santiago Hezze melengkapkan jaringan keempat pasukan pelawat minit ke-67.
Gol Ollie Watkins minit ke-46 diikuti sentuhan pemain Perancis, Moussa Diaby minit 56 mengurangkan defisit buat tuan rumah menjelang timbal balik kedua di Stadium Karaiskakis, Piraeus, Greece pada Jumaat depan.
Sementara itu, Fiorentina memanfaatkan sepenuhnya kelebihan beraksi di laman keramat Stadium Artemio Franchi, Florence untuk menewaskan Club Brugge, 3-2.
Sentuhan Riccardo Sottil (m-5), Andrea Belotti (m-37) dan pemain gantian dari Angola, M'Bala Nzola minit ke-91 memastikan bekalan satu gol mengiringi anak buah Vincenzo Italiano bagi perlawanan kedua.
Gol kelab Belgium kendalian Nicky Hayen dijelmakan Hans Vanaken (m-17) diikuti bintang dari Brazil, Igor Thiago minit ke-63 selepas pelawat kehilangan Raphael Onyedika yang dilayangkan kad kad merah selepas menerima kuning kedua minit ke-61.
Kedua-dua pasukan akan bertarung semula dalam perlawanan kedua di Stadium Jan Breydel, Bruges, pada Khamis depan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!