KPDN serbu premis jual aiskrim 'no palm oil'

Pasukan penguat kuasa KPDN menjalankan serbuan di sebuah kedai serbaneka di Presint 3 pada Khamis.
Pasukan penguat kuasa KPDN menjalankan serbuan di sebuah kedai serbaneka di Presint 3 pada Khamis.
A
A
A

PUTRAJAYA - Tindakan sebuah kedai serbaneka di sini menjual produk makanan yang tertera perkataan ‘no palm oil’ atau 'tiada minyak sawit' pada plastik pembungkusan aiskrim membawa padah apabila diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

Menteri KPDN, Datuk Armizan Ali berkata, tindakan premis itu bertentangan dengan Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Larangan Penggunaan Pernyataan, Ungkapan Atau Petunjuk) (Keluaran Kelapa Sawit dan Barang-Barang Minyak Sawit) 2022 telah mula dikuatkuasakan sejak 15 Mac 2022.

"Serbuan yang dilakukan pada jam 11.45 pag Khamis itu adalah hasil aduan awam yang telah diterima oleh pihak Kementerian dan kesemua produk aiskrim tersebut disita untuk siasatan lanjut dengan nilai rampasan berjumlah RM897.60," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Menurut Armizan, kes berkenaan disiasat di bawah peraturan tersebut dan jika sabit kesalahan, pihak terlibat boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan sehingga lima tahun.

Katanya, berdasarkan statistik penguatkuasaan bermula 15 Mac 2022 hingga 2 Mei 2024, sebanyak 5,057 pemeriksaan telah dilakukan di seluruh negara terhadap premis pelbagai peringkat rantaian pengedaran dan daripada jumlah itu, KPDN mendapati terdapat empat kes.

Tegas Armizan, tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana syarikat pengimport, pengedar, penjual dan pihak berkaitan yang menjual produk tidak mematuhi perundangan berkaitan.

"Jenis kesalahan meliputi pernyataan berbentuk ungkapan atau petunjuk yang mungkin mendiskriminasi atau memboikot apa-apa keluaran atau barang-barang yang melibatkan komoditi utama negara iaitu minyak kelapa sawit," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!