‘Lelaki Itu Naskah Mental’ ketengahkan isu depresi, pembunuh senyap masyarakat

Dari kiri: Ustazah Asni Mansor, Fazura, Adi Putra, Nurul Amal, Erma Fatima dan Ameerul Asyraf ketika bual bicara 'Lelaki Itu Naskah Mental' bertempat di Menara Dato' Onn pada Khamis.
Dari kiri: Ustazah Asni Mansor, Fazura, Adi Putra, Nurul Amal, Erma Fatima dan Ameerul Asyraf ketika bual bicara 'Lelaki Itu Naskah Mental' bertempat di Menara Dato' Onn pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Program bual bicara ‘Lelaki Itu Naskah Mental’ mengetengahkan isu depresi yang kian menjadi pembunuh senyap dalam kalangan masyarakat terutamanya anak muda di negara ini.

Perbincangan anjuran badan bukan kerajaan, Kretip Malaya dan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia itu menampilkan penerbit, Erma Fatima serta beberapa pemain utama drama Lelaki Itu yang sudah melabuhkan tirai dengan 30 tayangan episod.

Erma yang juga penulis skrip berkata, setiap karakter yang diwujudkan dalam naskah tersebut mempunyai masalah depresi tersendiri, malah amat berkait rapat dengan masyarakat secara realitinya.

“Orang kita di luar sana sedang depresi, kadang-kadang tak sedar dan tidak tahu macam mana nak kenal atau pulihkannya.

“Depresi atau tekanan bersangkut-paut dengan roh dan jiwa, jadi makanan roh adalah zikir.

“Saya rasa sesiapa yang memahami perkara tersirat dan tersurat di sebalik Lelaki itu dapat lihat bahawa kesemua watak ini bukan fiksyen, tetapi realiti kehidupan di luar sana,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika program bual bicara tersebut yang dihoskan oleh Pengasas Kretip Malaya iaitu Nurul Amal Fauzi di Menara Dato’ Onn, di sini pada Khamis.

Antara barisan artis yang turut hadir ialah Datuk Adi Putra, Nur Fazura, Ameerul Asyraf dan penceramah terkenal, Ustazah Asni Mansor.

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai kaedah menangani depresi dari sudut agama Islam, Ustazah Asni selaku panel jemputan memaklumkan, ia adalah satu lumrah yang perlu ditempuhi setiap manusia kerana segala ujian juga sudah dilalui para Nabi sejak dahulu lagi.

Justeru menurut beliau, masyarakat perlu memainkan peranan penting terhadap orang sekeliling yang dilanda masalah depresi dengan cara merujuk kepada pakar psikiatri.

“Selain itu, tolong dalam diam seperti doa dan bacakan Yasin selepas subuh, khas untuk rakan yang menghadapi depresi.

“ALLAH SWT beri ujian untuk kita zikir, bukannya fikir,” ujar beliau lagi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!