Nur Amni Zahra didukung seperti 'anak kecil' ke sekolah
PASIR PUTEH - Seorang ibu sanggup mengerah kudrat mendukung anaknya yang cacat anggota lebih 100 meter sambil mendaki puluhan anak tangga bagi memastikan cahaya hatinya itu mendapat pendidikan sempurna seperti kanak-kanak normal lain di Tahun Satu.
Nur Amni Zahra Khairul Azmi, 7, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram terpaksa didukung oleh ibunya, Siti Nor Aini Shaari, 34, umpama 'anak kecil' apabila dia dilahirkan dalam keadaan kedua-dua belah kakinya cacat.
Kecacatan sejak kecil itu menyebabkan Nur Amni tidak mampu untuk berdiri seperti kanak-kanak normal lain dan terpaksa bergantung kepada ibunya untuk bergerak.
Siti Nor Aini berkata, setiap hari dia akan mendukung Nur Amni Zahra bermula dari pintu pagar sekolah sehingga ke dalam kelas yang terletak di tingkat satu.
"Walaupun kadang-kadang terasa penat kerana berat Nur Amni Zahra sekarang hampir 20 kilogram, namun sebagai ibu saya tetap gagahkan kudrat demi anak tersayang.
"Saya mahu dia dapatkan pendidikan terbaik supaya kehidupannya menjadi lebih terjamin pada masa depan," katanya.
Menurutnya, hampir enam kali sehari dia akan berulang-alik kira-kira lima kilometer dari rumahnya di Kampung Chengal Pulas ke sekolah.
Katanya, ulang-alik itu termasuklah menghantar makanan untuk anak bongsunya itu pada waktu rehat.
"Sekitar jam 9.30 pagi saya tiba di sekolah untuk menghantar makanan kerana dia akan rehat 15 minit kemudian.
"Nur Amni Zahra tidak boleh turun ke kantin seperti rakan-rakannya yang lain sebab itulah saya akan menghantar makanan pada waktu rehat," katanya.
Siti Nor Aini berkata, disebabkan pergerakan Nur Amni Zahra terhad dia terpaksa memakaikan lampin pakai buang untuk anaknya itu.
Katanya, pemakaian lampin itu bagi memudahkan Nur Amni Zahra membuang air tanpa perlu ke tandas.
"Saya cukup beruntung apabila guru-guru SK Jeram banyak membantu Nur Amni Zahra lebih-lebih lagi apabila melibatkan aktiviti di luar kelas.
"Saya sememangnya mengimpikan untuk menyediakan sebuah kerusi roda bagi kemudahan Nur Amni Zahra namun ia terpaksa dilupakan akibat masalah kewangan.
"Selagi saya masih kuat dan mampu ia bukan halangan untuk mendukung Nur Amni Zahra setiap hari," katanya.
Menurutnya, suami, Khairul Azmi Halim, 40, yang bekerja sebagai buruh tidak mampu untuk membeli keperluan itu kerana mempunyai seorang lagi anak yang masih bersekolah di darjah enam.
Dia berkata, Nur Amni Zahra mendapat bantuan bulanan sebanyak RM150 sebulan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan menerusi akaun Bank Islam iaitu 03090020294714.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!