[VIDEO] Permohonan pembatalan kes rasuah Guan Eng, isteri dan Li Koon ditolak

A
A
A

GEORGE TOWN - [DIKEMAS KINI] Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menolak permohonan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, isterinya, Betty Chew dan ahli perniagaan, Phang Li Koon untuk membatalkan tuduhan rasuah terhadap mereka.

Permohonan itu membabitkan projek asrama pekerja asing bernilai RM11.6 juta.

Keputusan itu dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Rofiah Mohamad pada pagi Jumaat.

Mahkamah menetapkan 26 Julai ini untuk pengurusan kes.

Guan Eng tiba di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang untuk mendengar keputusan berhubung permohonan pembatalan kes rasuahnya pagi Jumaat.
Guan Eng tiba di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang untuk mendengar keputusan berhubung permohonan pembatalan kes rasuahnya pagi Jumaat.

Rofiah dalam penghakimannya berkata, pendakwaan terhadap tertuduh mungkin mendatangkan 'double jeopardy' kerana keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan berdasarkan kes terdahulu telah ditolak.

Artikel Berkaitan:

“Terdapat perbezaan besar dalam dakwaan kesalahan yang berlaku dan ia melibatkan orang yang berbeza. Kes mesti diteruskan.

"Untuk doktrin yang digunakan mestilah kesalahan dan fakta yang sama. 25 saksi dipanggil namun tidak ada penemuan yang ditemui berdasarkan keterangan dan fakta," katanya ketika menyampaikan keputusannya.

Kes dikendalikan oleh barisan Timbalan Pendakwa Raya yang diketuai Syed Faisal Syed Amir dan dibantu Ashrof Adrin Kamarul dan Shafiq Hasim.

Dalam pada itu, pihak pembelaan diketuai Datuk V Sithambaram, RSN Rayer, Ramkarpal Singh, A Ruebankumar dan Thandayuthabany Pillay.

Sementara itu, ketika ditemui di pekarangan mahkamah, Rayer berkata, pihak pembelaan akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan tersebut.

"Permohonan oleh pihak peguambela telah ditolak untuk membatalkan pertuduhan rasuah terhadap Guan Eng, Li Koon dan Betty. Alasan telah diberikan.

"Kami telah memohon untuk mendapatkan salinan alasan-alasan penghakiman dan besar kemungkinan pihak kami akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang kerana menolak permohonan kami," katanya.

Tambah Rayer, pihak pembelaan juga bercadang untuk membuat notis permohonan untuk menangguhkan perbicaraan kes daripada diteruskan.

"Pada hemat kami, pertuduhan ini telah dibicarakan di mahkamah pada 2016 dan 2017 yang mana, pertuduhan baru ini berasaskan kepada dokumen-dokumen yang sama. Ketika itu, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang telah memanggil 25 saksi sebelum membuat keputusan melepaskan dan membebaskan Guan Eng dan Li Koon.

"Sementara bagi Betty pula, pada hemat kami, jika ada keterangan, sepatutnya dia dituduhkan pada ketika itu. Bagaimanapun, kami terima keputusan yang dibuat pada hari ini.

"Kami akur dengan keputusan cuma setelah meneliti alasan-alasan yang dikeluarkan mahkamah (nanti), besar kemungkinan kami akan buat rayuan penggantungan perbicaraan di Mahkamah Tinggi sehingga keputusan Mahkamah Rayuan diterina," katanya.

Dalam pada itu, Guan Eng berkata, beliau akan membersihkan namanya, isterinya serta Li Koon.

"Terima kasih kepada semua yang datang dan percaya bahawa saya bersih.

"Saya akan teruskan dan bersungguh-sungguh untuk membersihkan nama saya, isteri dan Li Koon," katanya.

Mei tahun lalu, Rayer memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa beliau akan memfailkan permohonan supaya kes melibatkan Guan Eng, Li Koon dan Betty dibatalkan.

Ketika itu, mereka mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan-tuduhan berkenaan.

Ketiga-tiga mereka dibenarkan ikat jamin dengan wang jaminan sebanyak RM50,000 yang dicadangkan sebelum ini.

Mereka didakwa mengikut Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Kes membabitkan projek asrama yang dianugerahkan kepada syarikat yang dikaitkan dengan Li Koon ketika Guan Eng menjadi ketua menteri.

Guan Eng didakwa memberi suapan bernilai RM372,009 kepada Betty melalui Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd bagi memastikan Magnificent Emblem Sdn Bhd memperoleh projek itu di Juru dan Batu Kawan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 19 Ogos 2013 dan 3 Mac 2016, ketika Guan Eng juga menjadi pengerusi lembaga tender Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang.

Li Koon didakwa bersubahat dengan Guan Eng mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009.

Sementara itu, Betty didakwa atas tiga tuduhan melakukan pengubahan wang haram membabitkan RM372,009 daripada akaun Public Bank yang didaftarkan di cawangan Taman Melaka Raya antara 7 Oktober 2013 dan 3 Mac 2016.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!