Terjebak skim pelaburan, wang tak dikembali setelah proses perundangan - JSJK
KUALA LUMPUR - Kerugian wang yang dialami pelabur selepas terjebak dengan skim tipu pelaburan tidak akan dapat dikembalikan walaupun melalui proses perundangan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, sebagaimana laporan pada 24 April lalu, Mahkamah Persekutuan telah membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk melucut hak sejumlah RM1,112,700 daripada 79 pelabur skim pengambilan deposit secara haram.
Menurutnya, panel tiga hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat turut mengarahkan wang tersebut dilucut hak kepada hasil kerajaan.
"Berdasarkan hujahan, wang yang dirampas daripada sindiket pelaburan tersebut adalah hasil aktiviti haram, oleh yang demikian wang yang didepositkan oleh pihak ketiga turut dicemari.
"Jadi, responden tidak boleh dianggap mempunyai kepentingan undang-undang yang sah terhadap wang berkenaan," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Jumaat.
Beliau berkata, bukti menunjukkan mereka (pelabur) secara sukarela dan tanpa paksaan telah mendepositkan wang ke akaun yang diarahkan untuk menjadi pelabur dalam skim VenusFX serta mengharapkan pulangan atas pelaburan terbabit.
Tegas Ramli, polis mengingatkan orang ramai bahawa keputusan ini menunjukkan tindakan segelintir individu yang membuat pelaburan di dalam skim pelaburan tidak sah hanya akan mengakibatkan mereka mengalami kerugian yang lebih besar.
"Kerugian wang yang dialami tidak akan dapat dikembalikan walaupun melalui proses perundangan," ujarnya.
Justeru, adalah diingatkan kepada mereka yang berminat untuk melabur, jangan sesekali terlibat dengan apa jua skim pelaburan tidak berdaftar khususnya yang diiklankan melalui laman sosial dan seumpamanya.
Mengulas sekiranya mangsa penipuan scam yang mahu membuat tuntutan, Ramli berkata, proses boleh dibuat sekiranya ada permohonan daripada mangsa yang dibuat kepada pegawai penyiasat kes.
"Kemudian, keputusan akan dibuat oleh pihak majistret mengenai perkara itu," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!