Isu tuntutan laut: ASEAN perlu cari jalan lain berdepan China

Nine Dash Line merupakan garisan maritim yang dituntut oleh China ke atas lebih 70 peratus dari keluasan Laut China Selatan berdasarkan peta pada tahun 1947. (Gambar kecil: Dr Ahmad Sauffiyan)
Nine Dash Line merupakan garisan maritim yang dituntut oleh China ke atas lebih 70 peratus dari keluasan Laut China Selatan berdasarkan peta pada tahun 1947. (Gambar kecil: Dr Ahmad Sauffiyan)
A
A
A

SHAH ALAM - Pertembungan aset-aset maritim antara China dan negara-negara ASEAN di sekitar Laut China Selatan jika tidak ditangani dengan baik boleh menjadi konflik yang berterusan dan tidak mustahil mencetuskan perbalahan.

Pensyarah Kanan, Pusat Kajian Media dan Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Ahmad Sauffiyan Hassan berkata, China sudah pasti tidak akan menghentikan tuntutan Nine Dash Line yang meliputi dua pertiga Laut China Selatan dalam masa terdekat.

Menurutnya, oleh sebab itu, negara ASEAN terutama Vietnam, Filipina, Malaysia dan Indonesia perlu memikirkan cara lain bagi mengelak pertembungan menjadi semakin serius.

“Cara terbaik bagi meredakan ketengan di Laut China Selatan terutamanya di Kepulauan Paracel, Spratly dan Natuna adalah semua pihak membawa isu ini ke meja rundingan. Jika tidak dapat diselesaikan, boleh bawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

“Tetapi apakah implikasinya kepada ASEAN terutamanya kepada negara kita? Adakah China sanggup menerima isu ini dibawa ke ICJ?” katanya kepada ketika dihubungi Sinar Harian semalam.

Kata Ahmad Sauffiyan lagi, jika isu pertindihan laut itu semakin panas, tidak mustahil China akan menarik balik pelaburannya dari negara ASEAN terlibat bagi memberi tekanan.

Katanya, oleh sebab itu, ASEAN perlu membentuk jawatankuasa khas bagi berdepan dengan China dan mengambil jalan terbaik serta ‘menang-menang’ bagi semua pihak.

“Mungkin ASEAN dan China boleh mewujudkan satu kawasan pembangunan industri perikanan bersama. Dengan cara diplomasi seperti ini boleh mengurangkan ketegangan yang berlaku.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, isu tuntutan Laut China Selatan ini adalah isu jangka panjang. Semua pihak perlu berhati-hati kerana kita tahu kawasan tuntutan ini memiliki sumber alam yang besar seperti minyak dan gas.

“Apa pun China dan ASEAN perlu bersedia untuk ‘give and take’ dalam isu ini,” katanya.

Nine Dash Line merupakan garisan maritim yang dituntut oleh China ke atas lebih 70 peratus dari keluasan Laut China Selatan berdasarkan peta pada tahun 1947. Tuntutan China ini turut meliputi keseluruhan Kepulauan Paracel, Spratly sehinggalah terumbu Scarborough.

Bulan lalu, kapal Tentera Laut Indonesia dan kapal Pengawal Pantai China beberapa kali bertembung di sekitar Kepulauan Natuna. Ekoran itu, Jakarta menambah aset tenteranya di wilayah tersebut walaupun China menegaskan pihaknya tidak menceroboh laut Indonesia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!