Sindiket pelaburan saham jerat mangsa di 'live' TikTok

Ramli (kanan) menunjukkan replika jongkong emas dan duit palsu yang digunakan sindiket bagi menjerat mangsa.
Ramli (kanan) menunjukkan replika jongkong emas dan duit palsu yang digunakan sindiket bagi menjerat mangsa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sindiket tipu pelaburan yang aktif menggunakan khidmat pengajar dan hos di TikTok bagi menjerat mangsa tumpas dalam serbuan polis di Petaling Jaya, Selangor pada 25 April lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, serbuan dijalankan di dua premis pejabat dan berjaya menahan lapan individu termasuk dua wanita berusia lingkungan 21 hingga 43 tahun.

Menurutnya, polis telah merampas pelbagai barang kes antaranya tujuh komputer riba, 11 telefon bimbit, satu router, seikat wang palsu AS dolar serta 10 replika jongkong emas.

Replika jongkong emas dan duit palsu yang dirampas polis dalam serbuan di Petaling Jaya pada 25 April lalu.
Replika jongkong emas dan duit palsu yang dirampas polis dalam serbuan di Petaling Jaya pada 25 April lalu.

"Siasatan mendapati sindiket disyaki menjalankan aktiviti penipuan pelaburan secara dalam talian yang menyasarkan warga Malaysia.

"Premis tersebut telah dijadikan sebagai pusat khidmat pelanggan selain turut digunakan sebagai pusat pengiklanan dan promosi pelaburan menggunakan aplikasi TikTok," katanya dalam sidang akhbar di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, suspek yang ditahan berperanan selaku pengarah syarikat, pengurus, moderator, tenaga pengajar, editor dan hos 'live' TikTok.

Katanya, siasatan yang dijalankan mendapati sindiket mempromosi urus niaga pasaran saham yang didakwa beroperasi di Hong Kong.

Artikel Berkaitan:

"Pelabur yang berminat akan dimasukkan ke dalam group Telegram dan diajar untuk melakukan urus niaga jual beli saham tersebut melalui laman web yang diberikan oleh pihak sindiket.

"Dipercayai kegiatan ini telah aktif sejak Ogos tahun lalu dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!