'Tak hilang deposit sudah dianggap satu kejayaan' - PRM

Jufliz (dua dari kiri) dan Hafizah (tiga dari kiri) pada sidang akhbar Manifesto PRM di bilik gerakan utama di Rasa di sini pada Jumaat.
Jufliz (dua dari kiri) dan Hafizah (tiga dari kiri) pada sidang akhbar Manifesto PRM di bilik gerakan utama di Rasa di sini pada Jumaat.
A
A
A

HULU SELANGOR - Parti Rakyat Malaysia (PRM) meletakkan sasaran memperoleh sekurang-kurangnya 3,000 undi bagi mengelak parti itu hilang deposit.

Presidennya, Jufliz Faiza berkata, walaupun potensi untuk menang tipis namun PRM tetap meletakkan calon untuk membuktikan parti itu relevan dan masih berada dalam persada politik.

Menurutnya, PRM berfikiran realistik dan jika tidak hilang deposit juga sudah dianggap satu kejayaan.

"Jika 70 peratus daripada 40,000 orang keluar mengundi, kita sasar sekurang-kurangnya satu per lapan atau 3,000 sokong kita.

"PRM tidak fikir besar cuma realistik. Kita tak pernah menang sampai sekarang jadi jika tidak hilang deposit juga alhamdulillah.

"Namun, jika menang akan laksana manifesto dijanjikan," katanya pada sidang akhbar Manifesto PRM di bilik gerakan utama di Rasa di sini pada Jumaat.

Sebanyak enam manifesto dikemukakan PRM melibatkan pertumbuhan ekonomi terutama Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta koperasi komuniti diikuti hub teknologi tumbuhan herba bagi perubatan tradisional dan ketiga ialah ekonomi pelancongan.

Manifesto seterusnya mewujudkan pusat khidmat, kelima ialah penumpuan aspek infrastruktur serta terakhir meningkatkan peruntukan kebajikan kepada keluarga penjawat awam rendah, wanita, warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak.

Artikel Berkaitan:

PRM meletakkan Penolong Ketua Penerangan PRM, Hafizah Zainuddin sebagai calon PRK Kuala Kubu Baharu akan menentang Pakatan Harapan (PH) yang mewakili Kerajaan Perpaduan, Pang Sock Tao dan Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut dan calon Bebas, Nyau Ke Xin.

Jufliz berkata, banyak aspek perlu dipertimbangkan sebelum PRM mengambil keputusan untuk bertanding pada saat-saat akhir.

"PRM terpaksa juga bertanding walaupun berdepan masalah dana, tenaga dan masa tetapi Insya-ALLAH kita akan bangkit.

"Saya tahu PN cukup kuat selepas menawan Hulu Bernam dan Batang Kali pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu dan kini tinggal Kuala Kubu Baharu (untuk ditawan)," katanya.

Bagaimanapun katanya, Kuala Kubu Bharu mempunyai keunikan tersendiri kerana masyarakat majmuk dan berbilang bangsa berbanding di DUN Hulu Bernam dan Batang Kali.

"Kami melangkau sudut bangsa serta agama dan pengundi perlu lihat PRM sebagai alternatif untuk memperjuangkan isu rakyat," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!