Penuntut UiTM maut, kereta rempuh belakang lori
REMBAU - Seorang penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) maut, manakala dua lagi rakannya terselamat selepas kereta yang dinaiki hilang kawalan sebelum merempuh belakang lori dalam kejadian di Kilometer 242.6 Lebuhraya Utara Selatan arah Utara awal pagi Jumaat.
Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintenden Shaik Abd Kadar Shaik Mohamed berkata, kejadian jam 5.15 pagi itu membabitkan kereta jenis Toyota Vios dinaiki tiga lelaki berusia 20 hingga 21 tahun, dengan lori jenis Hino.
"Siasatan awal mendapati kesemua penuntut berkenaan dari Johor menghala ke Seremban.
"Apabila sampai di lokasi berkenaan, pemandunya disyaki hilang kawalan ke kiri jalan, lalu terlanggar bahagian belakang sebelah kanan lori di lorong kiri.
"Akibatnya, penumpang hadapan iaitu Muhamad Alif Hafify Muhamad Hafiz, 20, maut di tempat kejadian susulan kecederaan parah di bahagian kepala dan badan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Katanya, dua lagi rakannya selamat namun salah seorangnya mengalami kecederaan ringan di bahagian kanan tulang rusuk dan dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk rawatan susulan.
"Sementara itu, pemandu dan kelindan lori masing-masing berusia 31 dan 21 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Mayat mangsa seterusnya di bawa Unit Forensik Hospital Rembau untuk tujuan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
"Kes ini bagaimanapun masih dalam siasatan polis mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ)1987," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!