Artis Malaysia disaran lapor polis, SKMM hentikan provokasi - Zed Zaidi
SHAH ALAM - Pemain industri seni yang terpalit dengan mana-mana kontroversi disarankan membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menghentikan segala provokasi yang dilakukan.
Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Rozaidi Jamil atau dikenali sebagai Zed Zaidi berkata, perkara tersebut perlu ditangani dan diambil serius sekiranya imej artis Malaysia mula terjejas dengan kontroversi yang terpalit baru-baru ini.
“Bila lama kelamaan, Seniman perlu masuk campur dan mengharapkan individu tersebut untuk menghentikannya kerana kita pegang empat asas dalam perlembagaan Seniman iaitu memperjuang, membela, menjaga kebajikan serta meningkatkan imej artis Malaysia.
“Perkara ini sudah tersimpang apabila dia cuba mengganggu proses-proses tertentu dalam masa sama dia cuba mencipta perpecahan,” katanya dalam sesi Interviu yang bertajuk ‘Macam-macam hal artis sekarang’ pada Khamis.
Program yang dihoskan oleh Haizir Othman itu bersiaran secara langsung di semua platform Sinar Harian.
Selain itu, tambah Zed Zaidi, penerbit televisyen bukan sahaja filem digalakkan untuk menerbitkan sebuah cerita di luar kotak.
Menurutnya, idea dan kandungan di luar kotak itu mampu membuatkan Malaysia boleh bertukar kepada sistem lain, bukan tentang cinta lagi.
“Saya harap penerbit atau pengarah televisyen untuk buat satu cerita yang membina, membantu pembangunan minda bangsa atau cerita kenegaraan.
“Secara tidak langsung ia akan mendidik masyarakat kita melalui televisyen atau filem, daya pemikiran mereka akan berubah mengikut pengaruh di drama yang berepisod ini,” jelasnya.
Ditanya mengenai penghasilan filem indie yang dilakukan oleh anak muda, Zed Zaidi berpandangan bahawa usaha mereka harus digalakkan supaya terus berkarya dan pada masa sama, idea atau jalan cerita masing-masing juga di luar kotak.
Ujarnya, akan ada agensi kerajaan yang akan membantu golongan muda tersebut dari sudut geran atau filem pendek bagi membantu mereka mengembangkan kandungan masing-masing ke tahap yang lebih baik.
“Bila wujudnya media sosial ini, mereka boleh gunakan platform itu untuk mempromosikan bakat supaya ia akan dinilai oleh orang lain sekali gus mengembangkan kandungan mereka ke skop yang lebih besar,” tambahnya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!