Polis beri jaminan PRK Kuala Kubu Baharu selamat - Saifuddin

Saifuddin ketika bercakap kepada pemberita di Maktab PDRM, Kuala Kubu Baharu pada Jumaat.
Saifuddin ketika bercakap kepada pemberita di Maktab PDRM, Kuala Kubu Baharu pada Jumaat.
A
A
A

HULU SELANGOR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi jaminan keselamatan orang ramai di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu terpelihara sepanjang tempoh Pilihan Raya Kecil (PRK) kali ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, ini kerana pasukan keselamatan membuat persediaan seawal pengumuman kekosongan kerusi berkenaan.

"Orang ramai khususnya pengundi tidak perlu bimbang untuk keluar terutamanya pada hari pengundian nanti.

"Ini kerana polis telah menjalankan tugas dan melakukan persiapan dalam aspek jaminan terhadap keamanan dan ketenteraman awam.

"Kita mahu proses pengundian pada 11 Mei nanti berlangsung dengan baik. Kita mahu pengundi bebas tanpa sebarang ugutan atau bimbang keselamatan diri," katanya kepada pemberita selepas selesai majlis Sambutan Aidilfitri di Maktab PDRM, Kuala Kubu Baharu pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai aspek keselamatan di Kuala Kubu Baharu susulan kempen PRK yang sedang berlangsung ketika ini.

Saifuddin Nasution pada masa sama turut mengingatkan semua parti bertanding agar tidak melanggar sebarang undang-undang atau membuat provokasi.

"Kita harap sepanjang tempoh kempen hingga hari pengundian ini berjalan dengan baik dan selesai mengikut tempoh ditetapkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

PRK DUN Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Perikatan Nasional (PN), PH, Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan bebas.

PH yang mewakili Kerajaan Perpaduan mempertaruhkan Pang Sock Tao, PN pula diwakili Khairul Azhari Saut, Hafizah Zainuddin berrtanding bagi pihak PRM, manakala Nyau Ke Xin mewakili Bebas.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!