Bekas wartawan derma kornea mata kepada dua pesakit

Mendiang yang juga bekas wartawan akhbar tempatan menjadi penderma organ pertama pada tahun ini di HQE Kota Kinabalu.
Mendiang yang juga bekas wartawan akhbar tempatan menjadi penderma organ pertama pada tahun ini di HQE Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Seorang bekas wartawan akhbar tempatan menjadi penderma organ yang pertama di Hospital Queen Elizabeth (HQE) di sini, dengan mendermakan sepasang kornea matanya kepada dua pesakit lain di negeri ini.

Kriscy Limjoon, 43, yang meninggal dunia akibat masalah perubatan berjaya membantu memulihkan dua pesakit yang mengalami masalah penglihatan.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Asits Sanna berkata, pihak keluarga memaklumkan hasrat mereka untuk menderma organ mendiang bagi membantu pesakit lain yang memerlukan.

"Hasil penilaian mendapati hanya mata (kornea) yang masih sesuai untuk didermakan dan pihak keluarga telah bersetuju meneruskan hasrat murni tersebut.

"Sepasang kornea yang didermakan telah berjaya ditransplan dan membantu memulihkan penglihatan dua pesakit yang lain," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sebelum itu, Dr Asits memaklumkan mendiang yang berasal dari Kampung Domis Hungab, Penampang telah berkahwin dan merupakan seorang ibu kepada dua orang anak.

"Mendiang pernah bertugas sebagai wartawan akhbar tempatan dan menjadi guru Bahasa Inggeris di salah sebuah sekolah swasta di Sabah.

"Pihak keluarga menyifatkan mendiang sebagai seorang yang berhati murni, periang tetapi tegas dalam menjalankan tugas. Mendiang juga suka membantu orang dan sentiasa memberi sokongan kepada peniaga-peniaga tempatan.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun tidak berkesempatan mendaftar sebagai pengikrar penderma organ, namun mendiang pernah berbincang dengan keluarga mengenai hasratnya untuk menderma organ," katanya.

Sehubungan itu, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) ingin menggalakkan orang ramai supaya berbincang dengan keluarga tersayang mengenai topik pendermaan organ.

"Ini bagi memudahkan untuk keluarga memberikan keputusan pendermaan setelah pemergian kita," katanya.

Dr Asits berkata lagi, JKNS mengucapkan takziah dan merakamkan penghargaan kepada pihak keluarga di atas pendermaan tersebut.

"Semoga roh mendiang diberkati dan pihak keluarga diberi kekuatan menghadapi kehilangan ini," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!