LTSIP: Pengguna harap lebih banyak kemudahan disediakan

Siti Rohani (kiri) bersedia bertolak ke Kuala Lumpur untuk meneruskan penerbangan ke Turkiye (Kanan: Ninan)
Siti Rohani (kiri) bersedia bertolak ke Kuala Lumpur untuk meneruskan penerbangan ke Turkiye (Kanan: Ninan)
A
A
A

KOTA BHARU - Pengguna Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa berharap kemudahan yang disediakan lebih banyak dan terurus jika dinaik taraf sebagai lapangan terbang antarabangsa.

Tinjauan Sinar Harian di lapangan terbang itu mendapati ada penumpang mendakwa masih kekurangan kemudahan dan tidak dapat mendengar pengumuman dengan jelas.

Pelancong dari Thailand, Ninan, 35 berkata, selama 40 minit menunggu untuk menaiki kapal terbang ke Kuala Lumpur, dia tidak mendengar sebarang pengumuman.

"Jadi saya terpaksa berulang-alik dari tempat duduk untuk melihat papan pengumuman elektronik yang memaklumkan waktu pelepasan kapal terbang," katanya.

Ninan yang berasal dari Narathiwat memberitahu, perjalanan ke Kuala Lumpur dari LTSIP dapat menjimatkan kos sehingga RM1,000 berbanding menaiki kapal terbang di Hatyai.

Bagaimanapun, Ninan teruja kerana lapangan terbang ini sudah dinaik taraf berbanding dua tahun lepas ketika dia berada di sini.

Pada Khamis, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji akan menjadikan LTSIP dinaik taraf sebagai lapangan terbang antarabangsa.

Kerajaan Persekutuan juga bersetuju untuk menambah landasan sejauh 400 meter (m) dan sekiranya siap lapangan terbang itu membolehkan perjalanan haji dan umrah terus dari Kelantan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pelancong dari Paris, Peranchis, Sadia Sevani, 27, pula mengakui selesa dengan setiap kemudahan yang disediakan di LTSIP tetapi berpendapat perlu lebih banyak restoran untuk pelanggan.

"Saya tidak mempunyai masalah dengan kemudahan di lapangan terbang ini terutama perkhidmatan teksi dan kaunter tetapi melihat masih kekurangan restoran serta kedai untuk membeli barangan keperluan," katanya.

Sevani yang melancong ke negara ini selama 12 hari berpeluang berada di Kelantan selama tiga hari sebelum meneruskan percutian ke Pulau Perhentian, Kuala Terengganu.

Bagi Siti Rohani Mat Hussin, 62, tidak banyak perubahan di lapangan terbang ini terutama penggunaan papan pengumuman elekronik bagi membolehkan pengguna mengetahui maklumat yang sepatutnya diterima.

Siti Rohani yang akan ke melancong ke Turkiye bersama ibu saudara turut mendakwa, masih ada penumpang yang keliru mengenai tempat duduk dan arah tuju sebelum mereka berlepas.

"Kami berharap lapangan terbang ini dapat berfungsi dengan lebih baik apabila siap sepenuhnya selepas ini," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!