Semak waris, langkah awal simulasi faraid
Kad Semak Waris untuk kenal pasti siapa waris layak, berhak dapatkan harta peninggalan si mati
SEBAHAGIAN daripada tahun 2024 telah pergi meninggalkan kita dengan suka duka dan seribu kisah cerita keluarga mahupun harta pusaka.
Berlalunya masa itu seiring dengan bertambahnya usia dalam kehidupan yang mengingatkan kita semua tentang hampirnya dengan titik kematian.
Tidak menjadi kesalahan untuk kita melakukan audit persediaan kematian dengan membuat semakan waris dalam keluarga masing-masing.
Menyemak waris yang wujud dalam keluarga sendiri merupakan langkah awal untuk pengiraan faraid.
Hal ini penting bagi mendapat gambaran awal siapa ahli keluarga yang layak dan berhak untuk memperolehi harta pusaka seiring dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Dan (Allah SWT) mewajibkan pewarisan sebagai satu hak kepada ahli waris selepas (kematian) kamu." (Hadis Riwayat Abu Daud)
Kad Semak Waris
Konsep lakukan sendiri atau do it yourself (DIY) boleh diamalkan bagi setiap individu muslim dengan membuat Kad Semak Waris (KSW) untuk mengetahui waris yang wujud sehingga hari ini.
Inovasi KSW ini adalah sangat mudah dah ringkas iaitu dengan menyenarai waris yang disepakati sahaja menurut majoriti fuqaha mazhab iaitu waris ashab al-furud dan waris ‘asabah.
Waris ashab al-furud ialah waris yang telah ditetapkan bahagian atau saham mereka dalam pembahagian pusaka menurut al-Quran, as-Sunnah dan ijmak.
Manakala waris ‘asabah pula ialah waris yang tidak dinyatakan bahagian mereka dalam harta pusaka sama ada melalui al-Quran atau as-Sunnah.
Kadangkala mereka menerima semua harta pusaka, kadangkala baki dan kadangkala tidak memperolehi harta kerana harta pusaka telah dihabiskan oleh ahli waris ashab al-furud.
Kedua-dua kategori waris ini perlu wujud dalam senarai semak keluarga kerana mereka merupakan penerima utama harta pusaka jika berlaku kematian.
Kategori waris ketiga pula yang dikenali sebagai waris dhawi al-arham adalah diperselisihkan kedudukannya terutama amalan di Malaysia yang terikat dengan Mazhab Syafie yang tidak menganggap mereka sebahagaian penerima harta pusaka.
Waris dhawi al-arham bukanlah ahli keluarga yang jauh, mereka masih mempunyai hubungan kerabat atau darah dengan si mati tetapi tidak tersenarai sebagai waris ashab al-furud dan ‘asabah.
Dengan adanya KSW ini, setiap daripada kita perlu meletakkan azam untuk meneroka pengetahuan faraid masing-masing kerana tidak semua ahli keluarga adalah waris si mati, namun setiap waris mesti mempunyai hubungan keluarga.
Di samping itu, kita turut akan belajar dengan nama-nama atau terma waris yang tersenarai dan bahagian masing-masing.
Semua itu bermula dengan semakan waris untuk simulasi faraid pada kemudian hari.
Lain keluarga, lain warisnya
Berpandukan KSW, setiap orang tidak semestinya mempunyai waris yang sama. Ini perlu diperakui kerana setiap keluarga mempunyai konflik dan waris yang berbeza.
Individu yang sudah berumahtangga sememangnya tidak akan sama dengan individu yang masih bujang.
Bahkan individu yang sudah berkahwin juga turut berbeza dengan jenis, bilangan atau belum diberi rezeki dengan zuriat dalam kehidupan berumahtangga. Hanya kita yang tahu keluarga kita sendiri.
Contoh mudah bagi mereka yang dikurniakan zuriat, kedudukan anak lelaki dan anak perempuan adalah berbeza dalam perbahasan faraid.
Anak perempuan merupakan waris ashab al-furud (waris yang dapat bahagian tetap) dan boleh bertukar sebagai waris ‘asabah (waris yang dapat lebihan pusaka).
Sedangkan anak lelaki si mati hanya berstatus waris ‘asabah semata-mata dan tidak mungkin memperolehi faraid mengikut kadar-kadar yang tertentu.
Bagi yang belum dikurniakan zuriat, cabaran pengurusan harta keluarga perlu diteliti dengan lebih rapi kerana hubungan susur galur adik-beradik akan mendapat tempat berbanding zuriat.
Sekali lagi semua perincian simulasi faraid akan bermula dengan langkah awal iaitu menyemak waris dalam keluarga masing-masing.
***ZAHARI MAHAD MUSA
Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!