Monodrama 'Ocean of Star' papar kisah sebenar golongan autisme
GEORGE TOWN - Sebuah monodrama bertajuk 'Ocean of Star' berkisarkan perjuangan seorang ibu dalam membesarkan anak autisme telah ditayangkan dalam tayangan perdana yang diadakan di Auditorium Hospital Gleneagles Pulau Pinang baru-baru ini.
Pengerusi Pertubuhan Penang Shine Like Stars, Kathrine Koo berkata, monodrama itu memaparkan penerimaan, perjuangan dan ketabahan yang ditempuhi oleh keluarga yang mempunyai anak autisme.
Menurutnya, tayangan itu adalah sebahagian daripada Kempen Penerimaan Autisme tahunan badan bukan kerajaan dengan sokongan dan kerjasama rakan kongsi, Senses at Work, Clover Make-up Academy dan Triple I Production House
"Tujuan monodrama ini dianjurkan sempena dengan sambutan Hari Kesedaran Autisme bagi memupuk rasa prihatin dalam kalangan masyarakat serta menerima kekurangan golongan kanak-kanak yang mengalami masalah autisme.
"Penerbitan ini juga bertujuan meningkatkan kesedaran dan memupuk komuniti yang lebih memahami serta empati terhadap golongan autism.
"Monodrama ini serta Kempen Jualan Amal di Pasaraya Prangin baru-baru ini merupakan kempen amal untuk membantu mengutip dana Persatuan Autisme yang disasarkan sebanyak RM80,000," katanya.
Tambah beliau, tayangan monodrama itu juga ditaja dan dianjurkan bersama oleh Hospital Gleneagles Pulau Pinang.
"Diarahkan pelakon berbakat tempatan, Lim Chia Chia dan Studio JL7, 'Ocean of Star' ini menyentuh emosi penonton dengan kisah perjuangan dan kejayaan seorang ibu ketika membesarkan anak lelakinya yang autisme.
"Ia berkisar kisah kesedihan, putus asa selain tidak terdaya oleh seorang ibu, namun bangkit kembali dengan berbekalkan keberanian, cinta dan keazaman yang tidak berbelah bahagi.
“Kami ingin memaparkan cabaran sebenar yang dialami oleh keluarga berkeperluan khas yang sering berjuang dalam diam," katanya.
Kathrine berkata, melalui 'Ocean of Star,' ia diharap dapat memberi inspirasi kepada masyarakat tentang empati, pemahaman dan penerimaan perbezaan terhadap golongan autisme.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Gleneagles Pulau Pinang, Ivan Loh berkata, adalah menjadi tanggungjawab mereka sebagai penyedia perkhidmatan kesihatan untuk meningkatkan kesedaran dan memupuk empati orang luar terhadap keluarga yang mempunyai anak autisme atau individu autisme itu sendiri.
"Justeru, monodrama ini boleh dijadikan medium pendidikan dan kesedaran sekali gus mendorong orang ramai untuk turut menyokong komuniti tersebut selain menjadikannya lebih dihormati dan didengari di peringkat lebih luas.
“Ia bukan hiburan semata-mata tetapi kami cuba mencipta dunia yang lebih mesra autisme,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!