'Saya tetap senyum biarpun hati menangis'

Ali Puteh ketika bercakap pada Wacana Sinar Harian Siri ke-150 bertajuk Cabaran Pelawak: Dahulukan Rezeki atau Emosi? di Dewan Karangkraf di sini malam tadi. - Foto Sinar Harian MOHD IZARI ROSLI
Ali Puteh ketika bercakap pada Wacana Sinar Harian Siri ke-150 bertajuk Cabaran Pelawak: Dahulukan Rezeki atau Emosi? di Dewan Karangkraf di sini malam tadi. - Foto Sinar Harian MOHD IZARI ROSLI
A
A
A

SHAH ALAM - Walaupun hatinya menangis namun pelawak, Ali Puteh tetap memberi tumpuan dan terpaksa tersenyum di atas pentas demi memastikan penonton yang menyaksikan persembahannya dalam program realiti televisyen, Maharaja Lawak Mega (MLM) 2019 terhibur.

Ali atau nama sebenarnya, Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan terpaksa berdepan situasi getir itu ketika bersaing dalam pertandingan berkenaan sebelum dinobatkan sebagai juara MLM 2019.

Berkongsi pengalaman pilu dialaminya itu, Ali berkata, dia menangis di dalam kereta selepas membuat persembahan setelah tiga hari anaknya, Sharifah Nur Ainul Mardhiah, meninggal dunia disebabkan komplikasi jantung pada 26 November tahun lalu.

"Bila di atas pentas, saya fokus dan ketepikan kesedihan saya dan di belakang pentas saya selawat serta berzikir tak henti.

"Dalam lima minit persembahan saya tak sentuh langsung apa yang terjadi pada arwah anak saya. Niat saya masa tu, saya nak buat orang ketawa," katanya pada Wacana Sinar Siri Ke-150 bertajuk Cabaran Pelawak: Dahulukan Rezeki atau Emosi? di Dewan Karangkraf Seksyen 15 di sini malam tadi.

ARTIKEL BERKAITAN: "Tidurlah sayang... Rehatlah sayang..."

Wacana yang dikendalikan Ketua Pusat Pengajian Teater Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Norzizie Zulkifli itu turut menampilkan dua lagi panel iaitu pelakon dan pengarah, Sabri Yunus dan Ropie atau nama penuhnya Zahid Tajuddin.

Dari kiri, Ali Puteh, Dr Norzizie Zulkifli, Sabri Yunus dan Ropie. - Foto Sinar Harian MOHD IZARI ROSLI
Dari kiri, Ali Puteh, Dr Norzizie Zulkifli, Sabri Yunus dan Ropie. - Foto Sinar Harian MOHD IZARI ROSLI

Mengulas lanjut, Ali berkata, pengorbanan yang dilakukan atas dasar tanggungjawab kepada kumpulannya yang turut dianggotai Mamak dan Man meskipun dua rakannya itu dan penerbit rancangan itu tidak memaksanya untuk melakukan persembahan pada minggu tersebut.

Artikel Berkaitan:

Pelawak kena tambah ilmu jika tidak mahu ketinggalan

Katanya, pengalaman itu merupakan antara cabaran terpaksa ditempuh dan dia sedar kerjaya sebagai seorang pelawak bukanlah satu tugas yang mudah.

Dalam pada itu Ali sempat berkongsi pandangannya, mereka yang berminat hendak bergelar pelawak perlu bersedia menerima kritikan untuk menempuh cabaran dalam industri komedi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!