Tewas kepada Parti Buruh, PM Britain berdepan tekanan

Starmer (kanan) disebut bakal menggantikan Sunak. - Foto: Agensi
Starmer (kanan) disebut bakal menggantikan Sunak. - Foto: Agensi
A
A
A

LONDON - Parti Konservatif hilang kerusi Parlimen Britain kepada parti pembangkang utama, Parti Buruh pada Jumaat, sehari selepas negara itu mengadakan pilihan raya tempatan yang dijangka menambah lagi tekanan kepada Perdana Menteri, Rishi Sunak.

Parti Buruh diwakili Chris Webb dilaporkan merampas kawasan pilihan raya Blackpool South di barat laut England dengan 26.3 peratus undi yang merupakan kekalahan terbaharu kepada Tory yang dijangka tewas pada pemilihan umum akan datang.

“Kemenangan tersebut adalah keputusan paling penting pada hari ini,” ujar pemimpin Parti Buruh, Keir Starmer yang diramalkan menjadi Perdana Menteri Britain seterusnya.

Parti Buruh turut meraih kemenangan di Redditch, Thurrock, Hartlepool dan Rushmoor di Hampshire selepas Konservatif dilaporkan kehilangan tiga majlis serta lebih 100 ahli majlis.

Kedudukan Tory semakin goyah selepas ia memegang kuasa sejak 2010 dan mempertahankan ratusan kerusi ketika pilihan raya tempatan terakhir yang diadakan pada 2021.

Keputusan awal menunjukkan Parti Buruh meraih kemenangan besar di kerusi majlis, namun semua pihak kini memberi tumpuan kepada perlumbaan merebut jawatan Datuk Bandar London yang menyaksikan pertembungan antara Sadiq Khan dan Susan Hall.

Sadiq Khan yang mewakili Parti Buruh dijangka mengekalkan penggal pentadbiran ketiga dengan mudah meskipun persaingan di West Midlands dan Tess Valley di timur laut England diramalkan sengit.

Konflik dalaman di Parlimen mencetuskan spekulasi tentang rancangan segelintir anggota Tory berkemungkinan cuba menyingkirkan Sunak yang telah memegang kuasa sejak Oktober 2022.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, anggota Konservatif pernah mengetepikan Liz Truss dan Boris Johnson malah parti tersebut pernah melantik lima Perdana Menteri sejak referendum untuk meninggalkan Kesatuan Eropah (EU) pada 2016. - AFP

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!