Kor Ming sedia beri kerjasama susulan aduan PN kepada SPR

Kor Ming
Kor Ming
A
A
A

TELUK INTAN - Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Nga Kor Ming sedia memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menjalankan siasatan berhubung aduan Perikatan Nasional (PN) yang mendakwa pengumuman peruntukan RM5.21 juta, bulan lalu, menyalahi peraturan pilihan raya.

Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu, peruntukan untuk menambah baik infrastruktur awam di bawah seliaan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) berkenaan diberikan bersempena Program Sentuhan Kasih yang dilaksanakan di bawah kementeriannya.

Tambah beliau, perkara itu bukan menjadi isu yang menyalahi peraturan pilihan raya berikutan pengumuman itu dibuat sebelum hari penamaan calon.

"Setiap tempat saya pergi ada sahaja pengumuman, kita bawa program Sentuhan Kasih KPKT. Kita bekerja sepanjang musim tidak kira waktu, penat lelah kerana yang penting utamakan kesejahteraan rakyat.

"Jangan lupa pengumuman saya buat itu bukan dalam waktu kempen jadi ia tidak salah di sisi undang-undang seperti termaktub dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

"Ini memang sah, tidak salah pun kerana waktu itu penamaan calon belum lagi, siapa calon pun saya tidak tahu. Jadi, tiada kaitan langsung," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Parlimen Teluk Intan bersama Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Perak serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Dewan Bandaran pada Jumaat.

Media pada Khamis melaporkan PN mendesak SPR supaya mengambil tindakan berikutan pengumuman peruntukan oleh Kor Ming menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu melanggar peraturan pilihan raya.

Artikel Berkaitan:

KPKT pada 18 April mengumumkan memperuntukkan RM5.21 juta membabitkan 14 projek bernilai RM4.82 juta yang akan dilaksanakan oleh MPHS dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

Pada masa sama, Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan turut menasihatkan PN untuk fokus kepada isu rakyat selain menjelaskan isu hutang melibatkan perkhidmatan kredit komuniti.

"Hari ini calon Kerajaan Perpaduan sudah umum manifesto, adakah calon PN sudah selesai bayar hutang seperti yang digembar-gemburkan oleh media.

"Saya pun tidak tahu (isu hutang) dan dia perlu jelaskan kerana ia berkaitan soal integriti," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!