Bakal perkenal Pusat Tahfiz TVET, tawar kursus selam dasar laut

Rahmad Mariman. Foto fail Bernama
Rahmad Mariman. Foto fail Bernama
A
A
A

MELAKA - Kerajaan negeri menerusi Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bakal menjadikan Maahad Tahfiz Pulau Besar sebagai Pusat Tahfiz Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang turut menawarkan kursus selam dasar laut.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, usaha itu kini dalam perbincangan akhir bersama pihak swasta dan dijangka bermula Julai ini.

"Selain menghafal al-Quran, pada masa yang sama mereka juga akan diberi peluang mengambil lesen menyelam rekreasi serta profesional yang boleh digunakan untuk kerjaya di lapangan bersesuaian pada masa akan datang.

"Sebagai permulaan kita akan mengambil 60 hingga 80 pelajar dan kita percaya Pusat Tahfiz TVET ini adalah yang pertama di Malaysia yang menawarkan kursus tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilifitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Molek yang turut diserikan dengan kehadiran Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam.

Sementara itu, Rahmad berkata, JAIM berhasrat untuk meluaskan penggunaan jurubahasa isyarat semasa khutbah Jumaat di Masjid Selat, Masjid Cina Melaka dan Masjid Al-Alami selain masjid daerah lain di negeri ini, selepas program itu dimulakan di Masjid Al-Azim pada April lepas.

Beliau berkata, usaha menggunakan penterjemah dengan kerjasama Persatuan Orang Pekak Negeri Melaka (POPNM) bagi memberi kemudahan dan menyantuni golongan itu memahami khutbah yang disampaikan.

"Setakat ini kita telah laksanakan lebih sebulan di Masjid Al-Azim dan pendekatan ini membolehkan orang kurang upaya (OKU) pekak dan bisu memahami isi kandungan khutbah yang ditayangkan menerusi siaran langsung pada skrin layar di masjid," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu Rahmad turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada masyarakat yang meraikan majlis rumah terbuka itu yang dihadiri lebih 5,000 pengunjung dengan menyediakan pelbagai juadah. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!