Indeks Kebebasan Media: Fahmi akan rangka usaha lebih mapan
SHAH ALAM - Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil bakal mengambil tindakan dengan merangka usaha yang lebih mapan berikutan Malaysia jatuh di tangga ke-107 menerusi Indeks Kebebasan Media.
Beliau berkata, berdasarkan laporan indeks yang dikeluarkan Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) memperlihatkan Malaysia berada pada kedudukan yang jauh berbeza berbanding 2023 di tangga ke-73.
“Saya terima laporan RSF ini dengan hati terbuka. Banyak yang perlu dimuhasabah dalam mengimbangi usaha menjamin kebebasan media dan pada masa yang sama melawan fitnah serta penyebaran maklumat palsu.
“Insya-ALLAH, saya dan pasukan akan menghadam laporan ini serta merangka usaha-usaha yang lebih mapan ke depan,” katanya menerusi hantaran di X pada Jumaat.
Dalam indeks berkenaan, kedudukan Malaysia merosot kepada 52.07 mata berbanding 2023 yang mencatatkan sebanyak 62.83 mata.
Sebelum ini, media tempatan melaporkan Malaysia di kedudukan ke-73 daripada 180 negara pada 2023, meningkat berbanding tahun sebelumnya iaitu di tangga ke-133.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!