Haram hadiri rumah terbuka tanpa dijemput walau jiran sebelah rumah

HARAM hadir dan makan di rumah terbuka atau kenduri tanpa dijemput walaupun majlis dibuat jiran sebelah rumah. Foto Canva
HARAM hadir dan makan di rumah terbuka atau kenduri tanpa dijemput walaupun majlis dibuat jiran sebelah rumah. Foto Canva
A
A
A

SEMINGGU sebelum bulan Syawal melabuhkan tirai, masih banyak rumah terbuka diadakan sempena Hari Raya Aidilfitri.

Baik di pejabat mahupun di kawasan kejiranan, masjid atau surau, masing-masing mahu ‘berkenduri’ menjamu makan kepada tetamu yang hadir.

Namun, kadangkala ada situasi di mana penganjur mahu mengadakan rumah terbuka atau kenduri namun dengan bajet yang rendah dan jemputan tertentu sahaja dibenarkan hadir, dengan tujuan tidak mahu timbul isu kekurangan makanan kepada tetamu.

Timbul persoalan, jika jiran sebelah rumah sendiri yang melakukan rumah terbuka tapi tidak menjemput kita, apakah kita boleh hadir dan makan makanan yang dihidangkan?

Wajib hadir jika dijemput

Menjawab soalan ini, pendakwah, Ustazah Asma’ Harun menjelaskan, hukum asal menghadiri jemputan perkahwinan sekiranya dijemput secara khusus adalah wajib menurut majoriti ulama dalam Mazhab Maliki, Syafie dan Hanbali.

USTAZAH ASMA' HARUN
USTAZAH ASMA' HARUN

Artikel Berkaitan:

“Ia berdasarkan hadis yang diriwayatkan Ibnu Umar RA, Rasulullah SAW bersabda: "Apabila salah seorang kamu dijemput ke majlis perkahwinan (walimah), maka hadirlah ia.” (Hadis Riwayat Muslim)

“Menurut Imam An-Nawawi hadis di atas menunjukkan perintah untuk menghadiri satu majlis apabila ianya dijemput.

“Menurut pandangan yang paling sahih dalam mazhab Syafie adalah fardu ain (wajib) bagi sesiapa yang dijemput secara khusus dan gugur kewajiban tersebut jika ada keuzuran dan kemaslahatan,” katanya dalam Facebook miliknya pada Khamis.

Ulama sepakat hukum haram hadir, makan tanpa dijemput

Adapun menghadiri rumah terbuka atau kenduri tanpa dijemput, atau hadir yang tidak diketahui tuan rumah, hukumnya adalah haram seperti disebut dalam kitab Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah yang disepakati oleh para ulama empat mazhab, menurutnya.

“Dia dihukum fasik dari sudut penyaksian dan menjatuhkan maruah jika terus-menerus melakukan perbuatan tersebut.

“Ini kerana ia termasuk dalam kategori memakan makanan yang haram,” jelasnya.

Ustazah Asma’ kemudian membawakan satu hadis yang diriwayatkan Abdullah bin Umar RA, Rasulullah SAW bersabda:

“Sesiapa yang pergi ke suatu majlis tanpa jemputan, dia hadir sebagai seorang pencuri dan keluar sebagai seorang perompak.” (Hadis Riwayat Abu Daud)

WAJIB hadir ke rumah terbuka atau kenduri jika dijemput khusus oleh tuan rumah dan kewajipan tersebut gugur sekiranya ada keuzuran. Foto Canva
WAJIB hadir ke rumah terbuka atau kenduri jika dijemput khusus oleh tuan rumah dan kewajipan tersebut gugur sekiranya ada keuzuran. Foto Canva

“Disebutkan dalam kitab Mishkat Masabih, tetamu yang tidak dijemput tidak dibenarkan untuk hadir melainkan dengan izin tuan rumah dan tidak dibenarkan bagi tetamu untuk mengundang seseorang tanpa izin tuan rumah.

“Tetamu wajar meminta izin terlebih dahulu dan tidak digalakkan bagi tuan rumah untuk tidak menolaknya kecuali jika kehadirannya akan menimbulkan gangguan kepada orang yang hadir. Jika tuan rumah menolak, ia harus dilakukan dengan lemah lembut,” hurainya panjang.

Beliau turut menjelaskan, menurut Al-‘Aini, orang yang hadir ke majlis kenduri perkahwinan tanpa dijemput dianggap sebagai At-Tufaili iaitu mereka yang datang ke majlis atau perkumpulan tanpa mereka menjemputnya.

Murah rezeki, panjang umur sambung silaturahim

Bagaimanapun, pendakwah itu turut mengingatkan umat Islam kelebihan menyambung silaturahim dapat melimpahkan rezeki dan memanjangkan umur seperti hadis Rasulullah SAW:

MENGHUBUNGKAN silaturahim dan memberi makan antara amalan yang mampu membawa kita ke syurga. Foto Canva
MENGHUBUNGKAN silaturahim dan memberi makan antara amalan yang mampu membawa kita ke syurga. Foto Canva

“Sesiapa yang suka untuk dilimpah-ruahkan rezekinya atau dipanjangkan usianya, maka hendaklah dia menyambung silaturrahim.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)

“Hakikatnya dengan menjemput orang makan dan hadiri majlis rumah terbuka atau perkahwinan amat digalakkan serta dapat menambahkan keberkatan dan rezeki di samping dapat menghubungkan silaturahim sesama rakan dan saudara-mara,” katanya.

Beliau turut mengingatkan antara sifat orang beriman adalah memuliakan tetamu dan antara amalan yang mampu membawa kita masuk ke syurga adalah memberi makan dan menyambung silaturahim.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!