Kes pemerasan RM1.25 juta, tiga pegawai kanan polis ditahan

Razarudin. Foto Bernama
Razarudin. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan telah membuka kertas siasatan dan membuat tangkapan terhadap tiga pegawai kanan polis berhubung kes pemerasan berjumlah RM1.25 juta.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pegawai terlibat ditahan di sekitar Jalan Tun Razak, dekat sini.

Beliau berkata, tangkapan dilakukan terhadap pegawai kanan polis berpangkat Asisten Komisioner, Deputi Superintenden serta Inspektor yang berusia lingkungan 38 hingga 50 tahun.

"Siasatan awal mendapati kesemua suspek menafikan penglibatan dalam kes yang disiasat.

"Permohonan reman bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah akan dibuat pada esok (Sabtu)," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Kata beliau, siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Undang-Undang/Pendakwaan (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

Tegasnya, sabit kesalahan jenayah pemerasan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda, atau sebat atau mana-mana daripada hukuman tersebut.

Sementara itu beliau berkata, kes tersebut masih di peringkat siasatan dan orang ramai diingatkan untuk tidak membuat sebarang ulasan atau spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

Artikel Berkaitan:

"PDRM memberi jaminan untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh, selain sedang giat mengumpulkan maklumat risikan serta bukti secukupnya.

"Tindakan ini bagi memastikan kesemua yang terlibat dapat dibawa ke muka pengadilan," ujar beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!