Tiada permohonan baiki jalan di Kampung Orang Asli Pertak - Jakoa

Jabatan Kemajuan Orang Asli
Jabatan Kemajuan Orang Asli
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) menafikan dakwaan bahawa tiada peruntukan untuk membaiki jalan dari Kampung Orang Asli Pertak ke tanah perkuburan.

Menerusi kenyataan, jabatan itu menjelaskan semakan rekod Jakoa Hulu Selangor sejak 2017 mendapati tiada permohonan menaik taraf jalan dari Kampung Orang Asli Pertak ke tanah perkuburan seperti yang didakwa.

Ujar Jakoa, pada 9 Februari 2022, pihaknya telah mengadakan lawatan ke kawasan yang dimaksudkan dan mencadangkan untuk menaik taraf jalan tersebut.

"Walau bagaimanapun, pada ketika itu beberapa penduduk kampung yang mengusahakan tapak perkhemahan dan juga pemilik kebun di kawasan berkenaan tidak bersetuju dengan cadangan Jakoa.

"Ini kerana, mereka khuatir kawasan tersebut akan dimasuki pihak luar yang menggunakan kenderaan pacuan empat roda yang boleh menyebabkan kerosakan jalan," katanya pada Jumaat.

Jakoa berkata, oleh kerana tiada kata sepakat daripada penduduk kampung pada ketika itu, maka kerja-kerja naik taraf yang dicadangkan tidak dilaksanakan.

"Sehubungan itu, dakwaan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Pertak di sebuah portal semalam yang mengatakan bahawa tiada peruntukan untuk membaiki jalan tersebut serta memerlukan peruntukan yang banyak adalah tidak benar sama sekali," katanya.

Menurut Jakoa, pada tahun ini, kerajaan melalui jabatan itu sekali lagi mengadakan sesi libat urus bersama penduduk Kampung Orang Asli Pertak bagi tujuan menaik taraf jalan tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Setelah beberapa pertemuan bersama penduduk kampung, satu kata sepakat telah dicapai pada 9 Mac agar jalan tersebut dibaik pulih dan dinaik taraf.

"Pihak Jakoa kini sedang dalam proses untuk melaksanakan kerja-kerja baik pulih dan naik taraf seperti yang telah dipersetujui," jelas jabatan itu.

Terdahulu, sebuah portal tempatan melaporkan rayuan masyarakat Orang Asli Kampung Pertak di pekan Kuala Kubu Bharu yang mahu pihak berkuasa segera membaiki jalan dari penempatan mereka ke tanah perkuburan.

Penduduk mendakwa mereka terpaksa mengusung mayat di jalan yang curam dan berbatu-bata sebelum sampai ke tanah perkuburan yang sejauh tiga kilometer.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!