Dua wanita mualaf kongsi kemeriahan hari raya bersama ahli keluarga Kristian
PENAMPANG - Toleransi kaum yang sangat tinggi dalam kalangan masyarakat pelbagai etnik dan agama di Sabah sudah lama diamalkan dan ia jelas kelihatan ketika sambutan sesuatu perayaan.
Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, Sinar Harian membawa pembaca melihat sendiri sikap toleransi ahli keluarga bagi dua wanita mualaf yang menyambut perayaan ini bersama ahli keluarga mereka yang bukan beragama Islam.
Bagi dua wanita ini, perbezaan agama bukan halangan untuk mereka hidup harmoni sejak lebih 10 tahun selepas memeluk agama Islam dan sehingga kini masih menjalinkan hubungan baik bersama keluarga Kristian.
Norsyafiqah Aliyah Abdullah, 33, berkata, sejak memeluk Islam 14 tahun lalu tiada apa pun yang membezakan hubungannya dengan ahli keluarga lain yang masih beragama Kristian.
Wanita berasal dari Kudat dan berbangsa Rungus itu berkata, keindahan Islam dan keterbukaan agama ini menerima pelbagai bangsa dan agama menjentik hati untuknya terus istiqamah mendalami agama Islam.
"Kalau dulu sebelum masuk Islam, kami menyambut hari raya di rumah ibu saudara yang beragama Islam dan sejak kecil saya sudah merasai suasana sambutan perayaan ini.
"Tetapi sejak memeluk Islam, suasana semakin bertambah meriah kerana disambut di rumah sendiri bersama ahli keluarga termasuk ibu bapa yang masih beragama Kristian," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Malah katanya, menjadi satu kewajipan untuknya menyediakan juadah bagi meraikan perayaan tersebut dan dinikmati bersama ahli keluarganya.
"Biasanya pada hari raya, saya akan masak pelbagai jenis lauk termasuk kari ayam, ayam dan daging masak kicap. Begitu juga kuih muih kami akan hidang, kuih makmur wajib ada untuk dihidangkan kepada ahli keluarga yang beraya di rumah.
"Malam takbir orang di rumah paling teruja. Walaupun kedua ibu bapa saya tidak menyatakan perasaan itu tetapi riak wajah mereka kelihatan gembira apabila kami menyambut bersama-sama mereka," katanya.
Sementara itu, Veronica Risin atau nama Islamnya Nursyazriani Risin Abdullah, 32, berkata, dia memeluk agama Islam pada usia 20 tahun.
Menurutnya, ahli keluarga sangat menyokong dan menerima secara terbuka keputusannya untuk memeluk agama Islam dan berkahwin dengan lelaki Islam.
"Selepas 12 tahun pun ahli keluarga tetap menyokong dan hubungan dengan mereka juga baik. Malah menjelang sambutan hari raya, mereka sedia untuk membantu kami memasak bersama-sama.
"Ahli keluarga saya dari Sipitang akan datang ke sini dua hari awal sebelum sambutan atau ketika majlis rumah terbuka.
"Pada malam takbir raya, suasana lebih seronok apabila kami berkumpul dan saling bantu membantu membuat persiapan seperti memasang langsir atau membuat kuih," katanya.
Nursyazriani yang juga berbangsa Murut dan Lundayeh berkata, ibu dan bapanya sangat menghormatinya sebagai seorang Muslim.
"Ini dapat dilihat ketika kami menyambut perayaan, mereka tidak akan masak makanan yang tidak halal dan sekali gus membolehkan kami makan bersama-sama.
"Begitu juga ketika mereka menyambut perayaan Krismas, kami pun balik kampung dan kami disediakan makanan yang halal," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!