'Selamat tinggal cikgu, sahabat'
SUNGAI BULOH - [DIKEMAS KINI] Tegas dalam mendidik selain semangat setiakawan yang tinggi membuatkan kehilangan bekas Pengetua Sekolah Tuanku Abdul Rahman (STAR), Allahyarham Azmi Jimat dirasai seluruh rakan dan bekas pelajarnya.
Allahyarham Azmi tewas pada petang Jumaat, selepas difahamkan dua tahun bertarung nyawa akibat kanser, disifatkan memiliki sifat kebapaan selain tegas dalam mendidik pelajar-pelajarnya.
Bekas pelajar, Muhammad Amin Saiful Azar, 31, berkata, beliau menjadi anak murid Allahyarham sekitar tahun 2008 ketika arwah mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Muda Musa, Kuala Kangsar.
Jelasnya, sikap Allahyarham yang sentiasa mementingkan disiplin antara karakter paling diingati ketika menjadi anak muridnya.
"Dia memang pentingkan bab disiplin dan seorang yang tegas, tapi masa sama dia penuh dengan kelembutan dalam mendidik.
"Allahyarham memang memiliki sifat kebapaan yang tinggi, teguran dan nasihat sentiasa dia titipkan buat kami," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Bagi Nor Hazman Abd Rahman, 31, berkata, ingatan yang selalu diberikan Azmi adalah sentiasa mengutamakan pelajaran.
"Jujur saya katakan, dengan didikan dan nasihat diberikan, menjadikan saya seorang manusia.
"Walaupun tegas, namun segala kata-katanya amat bermakna.
"Selamat tinggal cikgu, semoga rohmu dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama golongan beriman di sana," katanya.
Mengenali Azmi sebagai seorang yang periang, rakan Allahyarham, Raja Muhammad Ariff Shah berkata, insan itu merupakan seorang rakan yang baik dan sentiasa mementingkan hubungan persahabatan.
"Saya merupakan rakan arwah ketika sama-sama belajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) sekitar 1987 sehingga 1991.
"Azmi seorang yang aktif ketika zaman persekolahan termasuk bidang sukan selain cemerlang dalam akademik.
"Hubungan antara rakan memang Azmi sentiasa jaga, kami sentiasa berhubungan sama ada secara WhatsApp atau melalui telefon," katanya.
Mengakui sedih dengan pemergian sahabatnya itu, jelasnya, Allahyarham merupakan insan yang sangat istimewa pada dirinya dan rakan-rakan.
"Dia yang saya kenali seorang yang periang, dia tak pernah hebohkan tentang sakit yang dialami, bukan apa, dia tak mahu kami semua risau keadaannya.
"Saya difahamkan dia mula mengalami kanser buah pinggang sejak Disember 2022.
"Sejak itu keadaan kesihatannya mula merosot, namun apabila jumpa, dia tak bercerita tentang apa dialaminya.
"Bagi saya dia seorang insan yang kuat," katanya.
Allahyarham Azmi Jimat meninggalkan seorang isteri, Siti Marlina Abdul Wahab serta dua cahaya mata masing-masing berumur 15 dan 13 tahun.
Terdahulu, ratusan individu terdiri daripada keluarga dan kenalan Azmi menziarahi jenazah Allahyarham ketika disembahyangkan di Masjid Nurul Amin sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Merbau Sempak di sini.
Allahyarham yang menabur bakti lebih 25 tahun dalam bidang pendidikan merupakan Pengetua di Sekolah Tunku Abdul Rahman (STAR), Ipoh.
Sebelum itu, anak kedua daripada sembilan adik beradik itu turut berkhidmat di beberapa buah sekolah antaranya Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Muda Musa, Kuala Kangsar, Sekolah Menengah Sains Teluk Intan dan MCKK.
Pemurah, pentingkan hubungan keluarga
Sementara itu, sikap pemurah Allahyarham Azmi dan sering membantu ahli keluarga lain, antara karakter yang meninggalkan kesan amat mendalam kepada keluarganya.
Adik arwah, Juliza Jimat, 39, berkata, insan yang mesra dengan panggilan Abang Mi itu merupakan seorang yang sangat mengambil berat soal kekeluargaan dan tidak berkira dari segi wang ringgit.
"Walaupun kami semua adik beradik tinggal di Johor dan dia di Perak, namun ikatan kekeluargaan kami sekeluarga amat erat.
"Beberapa kali juga dia datang ke rumah kami di Johor.
"Sikap yang terpuji ada pada Abang Mi adalah soal wang ringgit.
"Setiap kali adanya hari keluarga, mesti dia yang akan keluarkan duit, dia nak taja semuanya," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumah keluarga Allahyarham dekat Merbau Sempak di sini pada Jumaat.
Katanya, Allahyarham diingati sebagai seorang yang penyayang dan mengambil berat terhadap ahli keluarga.
"Sebelum ini Abang Mi memang berhajat nak bawa mak untuk tinggal bersamanya di Ipoh, alhamdulillah, dia sempat tunaikan.
"Walaupun dalam keadaan dia sendiri tidak sihat, namun sebagai anak, tanggungjawab kepada mak memang dia tak pernah abaikan," katanya.
Juliza menjelaskan, Allahyarham turut tidak menceritakan banyak tentang penyakit dialaminya.
"Dia tak hebohkan tentang penyakitnya itu, depan kami semua, dia buat macam biasa, seolah-olah tak ada apa-apa.
"Aidilfitri baru-baru ini ketika kami menziarahinya di hospital, ketika itu dia ceritakan tentang keadaannya yang sebenar," katanya sebak.
Seorang lagi adik Allahyarham, Juria Jimat, 45, berkata, Allahyarham yang merupakan anak kedua daripada sembilan beradik itu seorang yang gemar bergurau dan kelakar.
"Bila kami sekeluarga bertemu, ada saja yang pastinya mencuit hati.
"Sikap Abang Mi yang bersahaja buatkan bukan kami adik-adiknya malahan anak saudaranya juga gemar berbual dengannya.
"Kehilangan Abang Mi amat besar ertinya buat kami sekeluarga, kini tiada lagi gelak tawanya dan nasihat yang diberikan, kami amat merinduinya," katanya.
Allahyarham Azmi yang sebelum ini dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun sejak beberapa bulan yang lalu telah menjalani beberapa kali siri kimoterapi berkaitan penyakit yang dialaminya.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 5.07 petang di kediaman keluarga isterinya sebelum dibawa ke Masjid Nurul Amin untuk disembahyangkan.
Jenazah kemudiannya dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Merbau Sempak di sini untuk dikebumikan selepas solat isyak.
Dalam pada itu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek turut hadir menziarahi jenazah Allahyarham di kediaman keluarga isterinya di Merbau Sempak di sini
Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv, Syamil Fahim Mohamed Fahim yang turut hadir di kediaman berkenaan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!