Teliti, rangka dasar kukuh jamin kebebasan media

Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

LAPORAN menerusi terbitan Reporters Without Borders (RSF) mendedahkan kedudukan Malaysia jatuh 34 tangga dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 sekali gus menempatkan negara pada kedudukan ke-107 berbanding tahun lalu.

Penurunan tersebut susulan Malaysia mencatat 52.07 mata berbanding tahun lalu dengan pencapaian 62.83 mata.

Perubahan kedudukan itu sekali gus meletakkan Malaysia pada kedudukan kedua bagi negara ASEAN selepas Thailand yang berada pada tangga ke-87 dalam indeks tersebut.

Ia diikuti dengan kedudukan ketiga iaitu Indonesia dengan tangga ke-111, Brunei (117), Singapura (126), Filipina (134), Kemboja (151), Laos (153), Myanmar (171) dan Vietnam (174).

Situasi tersebut dijangka menimbulkan reaksi daripada pelbagai pihak yang berkemungkinan mempersoalkan kawalan kerajaan terhadap kebebasan media di negara ini.

Sudah tentu hal itu juga akan memberi impak kepada imej Kerajaan Perpaduan terutamanya ketika menjelang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB).

Pada Jumaat, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memaklumkan beliau bakal mengambil tindakan dengan merangka usaha yang lebih mapan susulan isu tersebut.

Beliau berkata, banyak perkara yang perlu dimuhasabah dalam mengimbangi usaha menjamin kebebasan media, pada masa yang sama melawan fitnah serta penyebaran maklumat palsu di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Kemerosotan kedudukan negara dalam Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 tidak semestinya dilihat sebagai satu perkara yang buruk, sebaliknya menjadi kayu ukur dalam menambah baik prestasi kerajaan pada masa akan datang.

Pada Jumaat, Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) berkata, laporan RSF menyatakan bahawa penurunan kedudukan negara didorong oleh faktor tindakan kerajaan dalam menapis dan menyekat hantaran atau perkongsian yang menyentuh sentimen 3R (agama, raja dan kaum).

Menurut kenyataan tersebut, faktor yang lain juga melibatkan tindakan kerajaan mengekalkan usaha menapis isu-isu sensitif dan menghalang keupayaan media dalam membangkitkan subjek tersebut.

Jika laporan indeks turut mengambil kira tindakan kerajaan dalam menangani sentimen 3R sebagai faktor penurunan, maka ia menunjukkan kerajaan mengambil pendekatan aktif dalam menapis kandungan-kandungan seperti itu.

Ia kerana belakangan ini, isu-isu melibatkan kritikan terhadap agama dan raja malah penghinaan terhadap sentimen kaum semakin menjadi-jadi.

Pendek kata selain sentimen 3R, kerajaan juga perlu meneliti cabaran-cabaran lain seperti penyebaran maklumat palsu, penyalahgunaan media sosial dan perkongsian yang berunsur fitnah serta menghasut.

Kemudian, satu dasar yang kukuh bagi melawan perkongsian maklumat palsu dan berunsur fitnah di negara ini perlu dibuat oleh kerajaan, pada masa yang sama memastikan kebebasan media terjamin.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!