Kesedaran untuk menderma organ perlu ditingkatkan
SHAH ALAM - Kesedaran rakyat Malaysia menjadi penderma organ terutama jantung masih rendah kerana berkemungkinan disebabkan salah faham dari aspek keagamaan.
Aktivis masyarakat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, ramai yang sedar mengenai kepentingan menjadi penderma organ namun peratusan tampil ke hadapan amat kecil.
Beliau yang juga merupakan pengikrar penderma organ sejak 30 tahun lalu menjelaskan, sedangkan setiap agama tidak menghalang manusia daripada melakukan kebaikan seperti menderma organ.
“Menderma organ adalah salah satu perbuatan yang mulia kerana dapat membantu orang lain walaupun telah meninggal dunia.
“Misalnya buah pinggang kita boleh digunakan untuk ganti organ itu ke dalam tubuh orang lain yang sudah rosak atau tidak berfungsi. Ia dilakukan bukan waktu kita hidup tetapi setelah meninggal dunia dan dipanggil kadaveric.
“Sungguhpun orang ramai sedar mengenai perkara tersebut namun faktor agama antara penghalang utama rakyat negara ini daripada berikrar untuk menjadi penderma organ,” ujarnya ketika dihubungi Sinar Harian.
Tambah Lam Thye, terdapat juga ahli keluarga tidak bersetuju walaupun mereka jelas telah mendaftar sebagai penderma organ.
“Masa nak derma ada masalah daripada keluarga sehingga menyebabkan hasrat tersebut tidak dapat direalisasikan,” jelasnya.
Menurut beliau, kerajaan perlu terus komited menganjurkan pelbagai kempen kesedaran termasuk bekerjasama dengan pelbagai agensi antaranya badan bukan kerajaan (NGO) bagi mempromosikan kepentingan kempen derma organ.
“Saya rasa maklumat perlu dikongsi dengan masyarakat agar orang ramai dapat lebih memahami erti, fungsi dan bagaimana penderma boleh dilakukan. saya rasa ia perlu disebarkan.
“Apabila sesuatu kempen diadakan sudah pasti dapat membuka mata lebih ramai orang awam menjadi penderma organ,” jelasnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!