PRK KKB: Bersatu nafi 'jauhkan' calon daripada pengamal media

A
A
A

HULU SELANGOR - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak 'menjauhkan' Khairul Azhari Saut dari pihak media sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.

Sebaliknya Pengerusi Bersatu Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menjelaskan, calon Perikatan Nasional (PN) itu perlu memberi tumpuan kepada aktiviti kempen dan bertemu seramai mungkin pengundi di lapangan.

"Bila kita dapat makluman calon adakan beberapa eksklusif 'interview' bersama banyak media, kita cadangkan tidak perlu buat secara berasingan kerana akan mengambil masa yang lama.

"Beliau (Khairul Azhari) perlu berada di lapangan kerana tempoh berkempen kurang dari 10 hari dari hari penamaan calon.

"Dalam satu kawasan yang luas begini, beliau harus memberi tumpuan untuk bertemu seramai mungkin pengundi, tetapi dari semasa ke semasa akan bertemu dengan media," katanya ketika ditemui selepas Ceramah Umum PN pada malam Jumaat.

Mohamed Azmin
Mohamed Azmin

Terdahulu beberapa pengamal media dijadualkan akan mengadakan sesi wawancara secara eksklusif antara calon dan agensi terlibat sejak Khamis, namun kesemuanya dibatalkan serentak.

Sebelum ini, slot Sinar Harian untuk sesi temu ramah bersama pemangku Ketua Bersatu Hulu Selangor itu dijadualkan pada pukul 2 petang, Khamis lalu, namun mendapat maklumat di saat akhir program itu ditunda ke suatu tarikh yang belum dimuktamadkan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu Mohamed Azmin yang juga Pengarah Pilihan Raya PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu tidak menolak kerjasama pengamal media amat penting dan harus diraikan semua pihak.

"Pertemuan dengan media penting, harus raikan dan diberi kerjasama.

"Calon kita memang bersedia (bertemu pihak media) dari semasa ke semasa, tetapi kita cadangkan (temuramah) dibuat secara berkelompok," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!