UMNO tak pernah 'dicucuk hidung' sejak kerjasama dengan PH - Puad

Mohd Puad
Mohd Puad
A
A
A

JOHOR BAHRU - UMNO tidak pernah dicucuk hidung sejak bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) malah tidak pernah menukar prinsip perjuangan sehingga kini.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, dakwaan Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal itu bahawa UMNO kini menukar prinsip perjuangan sejak bersama PH disifatkan sebagai naif.

"Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal terlalu naïf kerana tidak dapat bezakan antara 'prinsip' dan 'manhaj' (kaedah) perjuangan.

"Dia mentah dalam liku pemikiran politik. Dia cuma melalui liku liku pertukaran kerajaan. Masuk politik dengan mudah. Masuk terus jadi YB.

"UMNO tetap menjaga prinsip bila bekerjasama. UMNO tidak dicucuk hidung dalam isu kalimah ALLAH. PH yang bisu. UMNO mewakili suara orang Melayu dalam kerajaan," tulisnya dalam Facebook miliknya pada Sabtu.

Beliau yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor berkata, parti itu tidak pernah menukar prinsip perjuangan walaupun perkara tersebut dibolehkan.

"UMNO tidak pernah tukar prinsip perjuangan. Tukar kaedah, uslub dan manhaj memang dibolehkan. Ia ikut keadaan masa tersebut.

"No Anwar No DAP adalah manhaj sebelum PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15). Di PRU15 BN-PH berlawan. Tetapi selepas PRU15 manhaj (kaedah) berubah," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit itu menjelaskan, kerjasama UMNO dan PH itu dibuat atas keperluan mendesak kerana kerajaan Persekutuan perlu dibentuk selapas mendapat titah Yang di-Pertuan Agong selepas PRU15.

Katanya, UMNO setuju manakala Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas sahaja ingkar kerana 'bodoh sombong'.

Menurut Puad, walaupun bersetuju membentuk kerajaan bersama, BN tidak menyertai PH, ini berbeza dengan Bersatu dan Pas yang lebih awal bersekongkol dengan DAP termasuk bergabung dalam PH dan Pakatan Rakyat.

"UMNO pernah berkawan dengan Gerakan (Parti Gerakan Rakyat Malaysia). Di awal penubuhannya parti itu dicop cauvinis. UMNO juga berkawan dengan Pas yang ketika itu isu mengkafirkan lawan panas," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!