Bekas pemain import Liga Super dicekup
KUALA LUMPUR - Bekas pemain import Liga Super antara yang ditahan dalam serbuan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Jalan Puchong Mesra di sini, awal pagi Sabtu.
Pemeriksaan awal terhadap lelaki berusia 34 tahun yang pernah menyertai pasukan bola sepak di Lembah Klang itu didapati memiliki pas pekerja yang tamat pada tahun 2019.
Difahamkan, setakat ini bekas pemain itu tidak mengikat kontrak sebagai pemain bola sepak dengan mana-mana pasukan.
Berdasarkan maklumat serbuan, kawasan terbabit dipenuhi dengan aktiviti warga Afrika di bahagian belakang lorong premis hingga mengganggu ketenteraman awam penduduk berdekatan.
Selain berkumpul, warga Afrika ini minum minuman keras, menghisap shisha dan membuat bising bermula tengah malam sehingga awal pagi.
Semasa operasi tangkapan dibuat, rata-rata warga Afrika bertempiaran lari hingga sanggup terjun longkang besar selain membuat provokasi sentimen warna kulit selepas ditahan.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jafri Embok Taha berkata, seramai 22 warga asing ditahan termasuk dua kanak-kanak menerusi Op Kutip yang dilaksanakan bermula jam 11.30 malam hingga jam 3 pagi (Sabtu).
Menurutnya, tangkapan membabitkan tujuh warga Sierra Leon, Nigeria (7), Ghana dan Amerika Syarikat masing-masing tiga orang dan Liberia seorang.
“Berdasarkan operasi sebelum ini, warga Afrika ini bertindak agak agresif, jadi tindak balas daripada pihak Imigresen juga perlu berhati-hati di mana operasi kali ini mereka sanggup terjun ke dalam longkang beramai-ramai.
“Ada dalam kalangan mereka memaklumkan masuk ke sini (Malaysia) menggunakan pas pelajar, pas lawatan sosial, namun ini perlu disemak lebih lanjut untuk kesahihan,"katanya kepada pemberita selepas operasi terbabit di sini pada Sabtu.
Turut hadir, Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff.
Tambah Jafri, seramai 102 anggota dan pegawai JIM dikerahkan pada operasi kali ini kerana memfokuskan kepada warga Afrika.
"Kesemua tangkapan akan menjalani proses verifikasi di ibu pejabat Jabatan Imigresen Kuala Lumpur dan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63," katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!