'Saya ada hutang tapi bukan dengan along' - Calon PN
HULU SELANGOR - Selepas dua hari kontroversi mengenai isu hutang dengan perkhidmatan kredit komuniti berlegar di media sosial, calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, Khairul Azhari Saut akhirnya tampil menjawab tuduhan tersebut.
Pemangku Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor itu menegaskan, perkara tersebut merupakan fitnah jahat terhadap dirinya.
"Pada saya, itu satu fitnah jahat seperti yang berlaku ketika hari penamaan calon minggu lalu.
“Saya diserang apabila wartawan bertanyakan mengenai sijil kelayakan akademik. Bukan saya tidak mahu komen tetapi bukan masanya ketika itu dan saya tidak menipu (mengenai kelayakan akademiknya).
“Termasuk yang baru ini, saya ada perniagaan sendiri dan saya rasa semua orang berniaga ada hutang," katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran Wanita Gempur PN di Batang Kali pada Sabtu.
Turut hadir, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Faizal Azumu dan Ketua Wanita PN, Datuk Seri Rina Harun.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, Khairul Azhari mengelak untuk mengulas isu berkenaan ketika ditanya pemberita dalam satu program PN pada Rabu lalu.
Dalam pada itu, beliau beranggapan, serangan menggunakan isu peribadi ketika kempen tidak sesuai untuk sistem pilihan raya.
“Saya ada hutang rumah, kereta dan tidak mengatakan tidak ada hutang. Yang penting bukan hutang dengan along.
“Hutang dengan along kad bank dipegang, kita tidak (boleh) ke mana. Rumah kena simbah cat, tapi itu bukan saya," tegasnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!