[VIDEO] Peniaga kongsi rezeki jual siakap 70 sen seekor
KUALA TERENGGANU - Peniaga hasil laut di Kampung Batu Hampar dekat Manir di sini berkongsi rezeki bersama pelanggan dengan menjual sebanyak 4,000 ikan siakap pada harga 70 sen setiap seekor.
Sabran Muzaffar Semlee, 28, berkata, jualan murah itu dilakukan bagi membantu golongan kurang berkemampuan untuk sama-sama menikmati sumber protein tersebut.
Menurutnya, gerai jualan itu mula diserbu seawal jam 6.30 pagi oleh pelanggan yang ingin mendapatkan harga yang ditawarkan RM2 bagi tiga ekor ikan.
"Kita mula jual ikan-ikan ini secara berperingkat bermula jam 8 pagi tadi bagi mengelak orang ramai berebut dan memastikan semua pelanggan yang datang dapat merasa membeli ikan pada harga murah.
"Sebab itulah kita mengehadkan setiap pelanggan agar membeli maksimum tiga ekor ikan sahaja yang berharga 70 sen setiap seekor. Kita jual RM2 untuk tiga ekor ikan itu," katanya ketika ditemui pemberita di jeti ikan Kampung Batu Hampar di sini pada Sabtu.
Sabran Muzaffar berkata, jualan tersebut akan diteruskan pada masa akan datang sekiranya sambutan diterima memberangsangkan.
Selain siakap 70 sen, terdapat 2,000 ekor ikan siakap pelbagai saiz dengan harga RM15 untuk dua ekor ikan saiz besar dan dua ekor RM7 bagi yang bersaiz sederhana.
Sementara itu, kebanyakan pelanggan yang ditemui berpuas hati dengan harga yang ditawarkan itu dan menyifatkan ia antara paling murah pernah dibeli setakat ini.
Menurut Aziz Mamat, 60, jualan murah tersebut memberi peluang kepada golongan kurang bernasib baik untuk membeli ikan pada harga rendah.
Katanya, usaha itu wajar dijadikan contoh oleh peniaga lain untuk berkongsi rezeki dan keuntungan bersama pelanggan.
"Saya amat hargai usaha peniaga menjual ikan dengan harga rendah ini sebab walaupun jarang-jarang dibuat, ada juga peluang untuk semua merasa beli ikan harga murah," katanya.
Sementara itu, Maziah Abdul Rahman, 67, berkata, dia bersyukur kerana dapat membeli tiga ekor ikan pada harga RM2 untuk dimasak hari ini.
"Saya dapat tahu pasal ikan murah ni selepas anak-anak berkongsi iklan mengenainya yang dibaca di Facebook.
"Kalau ikutkan kat tempat lain pun ada, tapi kat sini paling murah setakat ini. Jadi saya tak lepaskan peluang untuk datang beli kat sini," katanya yang tinggal di Kampung Teluk Menara di sini.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!