Kongres sokong guru diberi autonomi laksana kurikulum
SEREMBAN - Kesatuan Guru Dalam Perkhidmatan Pelajaran Malaysia (Kongres) menyokong dan menyambut baik saranan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek untuk memberikan autonomi kepada guru-guru dalam melaksanakan kurikulum 2027.
Setiausaha Agung Kongres, Mohd Azizee Hasan berkata, langkah tersebut diharap dapat memberikan peluang kepada guru untuk menyerlahkan kreativiti dalam pendekatan pengajaran sekali gus memastikan objektif pembelajaran tercapai.
"Ini kerana guru berdepan dengan keadaan yang berbeza, murid yang berbeza, kemudahan yang berbeza serta lokaliti yang berbeza.
"Justeru guru mampu menilai dan mencari kaedah yang paling terbaik dan sesuai untuk memastikan proses pengajaran mencapai objektifnya," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Pada masa sama katanya, untuk memastikan keberkesanan autonomi berkenaan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diharap dapat menyediakan latihan dan kemahiran secukupnya bagi memastikan aspek integriti dan kebertanggungjawaban guru dimantapkan.
Jelasnya, autonomi yang diberikan kepada para guru di dalam melaksanakan kurikulum 2027 nanti perlulah dipandu dan dipimpin dengan sebaiknya.
"Ia bagi memastikan guru mampu membuat keputusan dalam melaksanakan kaedah pengajaran, pemilihan bahan pengajaran serta penilaian dan pentaksiran murid demi pendidikan yang berkualiti sekali gus mengelakkan keciciran murid.
"KPM melalui Institut Pendidikan Guru harus menyediakan panduan model autonomi guru bagi memantapkan aspek pengajaran, ketelusan dan kebertanggungjawaban guru dalam ruang lingkup autonomi yang diberikan nanti," katanya.
Sebelum ini media melaporkan, Fadhlina berkata, warga pendidik khususnya guru-guru, akan diberi autonomi lebih besar dalam pengenalan kurikulum baharu iaitu Kurikulum Persekolahan 2027 akan datang.
Beliau berkata, autonomi itu hadir dengan tanggungjawab serta integriti dan KPM ketika ini sedang memberi latihan bagi memenuhi matlamat terbabit.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!