Kedudukan Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media masih baik - Fahmi
GEORGE TOWN - Kedudukan terkini Malaysia dalam Indeks Kebebasan Media masih dianggap baik berbanding pemerintahan kerajaan sebelum ini, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Beliau berkata, meskipun Malaysia berada pada tangga ke-107 berdasarkan Laporan Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 yang disiarkan Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) semalam, kedudukan itu tidak begitu teruk.
"Kalau berada di tangga 107 (dalam Indeks Kebebasan Media), itu bagi saya pencapaian masih tidak memuaskan tetapi ia juga tidak terlalu teruk. Pada 2021, kita berada di tangga 119, manakala pada 2022 di tangga 113.
"Namun, kedudukan sekarang masih baik berbanding zaman pemerintahan sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di reruai Kementerian Komunikasi bersempena dengan Program Madani Rakyat 2024 Zon Utara di Tapak Pesta Sungai Nibong dekat sini pada Sabtu.
Fahmi mengulas Laporan Indeks Kebebasan Media Dunia 2024 yang menunjukkan kedudukan Malaysia dalam indeks berkenaan jatuh 34 anak tangga ke kedudukan 107 berbanding 73 pada tahun lepas, dengan memperoleh skor 52.07 mata.
Mengulas mengenai strategi penambahbaikan kebebasan media, Fahmi berkata beliau dan RSF bersetuju untuk mengadakan siri pertemuan serta perbincangan bagi menangani berita palsu atau penyebaran maklumat tidak benar di negara ini.
"Mereka (RSF) telah beri komitmen ini. Jadi, insya-Allah dalam masa tidak terlalu lama kita akan mengadakan pertemuan susulan. Saya terima laporan (RSF) dengan hati terbuka.
"Banyak yang perlu diteliti kerana tidak semua cocok dengan nilai ketimuran atau adab kita amalkan di Malaysia, namun kita akan teliti pelaksanaan penambahbaikan (kebebasan media) yang ingin kita saksikan dan diamalkan di Malaysia,” katanya.
Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan sekali lagi menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menyalahgunakan konsep kebebasan media dengan menyentuh isu 3R (bangsa, agama dan raja) selain menyebarkan fitnah serta berita palsu.
Beliau berkata, hal ini kerana terdapat beberapa pihak yang sengaja memainkan isu 3R selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan.
"Ada beberapa laman web telah diambil tindakan dan MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) juga memaklumkan bahawa mereka sememangnya menyebarkan berita palsu dan memainkan isu 3R,” katanya. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!