China kembali tingkatkan ketegangan di Laut China Selatan

Filipina mendakwa pengawal pantai China meningkatkan ketegangan di Laut China Selatan selepas menggunakan meriam air hingga merosakkan dua kapal milik negara berkenaan. Foto AP/Philippine Coast Guard
Filipina mendakwa pengawal pantai China meningkatkan ketegangan di Laut China Selatan selepas menggunakan meriam air hingga merosakkan dua kapal milik negara berkenaan. Foto AP/Philippine Coast Guard
A
A
A

MANILA - Filipina mendakwa pengawal pantai China meningkatkan ketegangan di Laut China Selatan selepas menggunakan meriam air hingga merosakkan dua kapal milik negara berkenaan.

Pegawai Filipina, Commodore Jay Tarriela berkata, sebuah kapal pengawal pantai dan kapal perikanan rosak akibat meriam air yang digunakan oleh pengawal pantai China ketika dalam perjalanan ke Scarborough Shoal untuk membantu nelayan Filipina di kawasan itu.

"Pengawal pantai China kini meningkatkan ketegangan dan tahap pencerobohan mereka terhadap kapal pengawal pantai Filipina.

"Ini adalah kali pertama kapal pengawal pantai telah ditembak meriam air secara langsung dengan tekanan sedemikian, hingga mengakibatkan kerosakan struktur kapal pantai Filipina," katanya memetik laporan Reuters.

Dalam pada itu mengulas berhubung insiden berkenaan, Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS) Llyod Austin berkata, kru Filipina berada dalam keadaan bahaya di mana anggota mereka telah cedera dan berlakunya kerosakan harta benda.

"Ini merupakan tingkah laku yang tidak bertanggungjawab dan ia tidak menghiraukan undang-undang antarabangsa.

"Jadi komitmen kami terhadap perjanjian pertahanan bersama adalah kukuh dan kami berdiri bersama Filipina," ujarnya lagi.

Ketika ini, tiada negara yang mempunyai kedaulatan ke atas Scarborough Shoal yang terletak di lokasi strategik, kawasan perikanan utama berhampiran lorong perkapalan utama yang digunakan oleh beberapa negara.

Artikel Berkaitan:

Beting itu terletak di dalam zon ekonomi eksklusif (EEZ) Filipina dan menjadi sumber titik kilat yang berterusan antaranya dan China.

China menuntut kedaulatan ke atas sebahagian besar Laut China Selatan, iaitu laluan untuk lebih AS$3 trilion (RM14.3 trilion) perdagangan bawaan kapal tahunan, termasuk bahagian yang dituntut oleh Filipina, Vietnam, Indonesia, Malaysia dan Brunei.

Tribunal antarabangsa pada 2016 berkata, tuntutan meluas China tidak mempunyai asas undang-undang, keputusan yang ditolak oleh Beijing.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!