KKM tak cadang wajibkan kafe hospital guna straw serai
IPOH - Kementerian Kesihatan (KKM) tidak bercadang untuk mewajibkan kafe di hospital kerajaan menggunakan serai sebagai penyedut minuman bagi menggantikan straw plastik seperti disarankan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA).
Timbalan Menterinya, Dr Lee Boon Chye berkata, keputusan menggunakan bahan itu akan ditentukan sendiri operator kantin dan kafe bergantung kepada kesan ekonomi.
"Jika mereka merasakan perkara itu tidak membebankan dari segi ekonomi dan ia praktikal, maka sudah tentu mereka akan laksanakannya.
"Bagi pihak kementerian, kita tidak mewajibkan, namun menggalakkan memandangkan ia satu cadangan yang baik," katanya selepas lawatan ke Klinik Kesihatan Bijeh Timah di sini hari ini.
Menurutnya, pada masa ini, orang ramai masih mempunyai alternatif lain bagi menggantikan penyedut minuman plastik seperti yang diperbuat daripada jagung dan kertas.
"Kos bagi straw yang diperbuat daripada jagung dan serai ini mungkin jauh lebih mahal berbanding plastik, tetapi kita juga tahu jika terus menggunakan straw plastik akan ada masalah dari segi alam sekitar.
"Dari segi ekonomi pula saya yakin jika penggunaannya (straw serai) meningkat nanti, maka kos juga akan turun, jadi ia sesuatu yang perlu dipertimbangkan juga," katanya.
Rabu lalu, Pengerusi KADA, Datuk Husam Musa dilaporkan berkata, penggunaan serai sebagai penyedut minuman akan diperluaskan ke kafe hospital termasuk kepada pesakit bagi menggantikan straw plastik.
Untuk permulaan, pihaknya akan memajukan penggunaannya kepada kafe Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) sama ada digunakan orang ramai atau kepada pesakit sendiri kerana ia adalah daripada bahan semula jadi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!