Piala Thomas: Debaran separuh akhir Malaysia-China
MALAYSIA dan China memasang impian besar untuk memburu slot final apabila kedua-dua jagoan badminton dunia itu bakal beraksi di pentas separuh akhir Piala Thomas 2024 di China pada jam 5 petang ini.
Berdasarkan senarai pemain yang bakal diturunkan, kedua-dua pasukan menyenaraikan barisan pemain sama ketika saingan suku akhir pada Khamis.
Dalam saingan yang dijadualkan berlangsung di Pusat Sukan Chengdu High-Tech Zone, Chengdu itu, skuad badminton negara, bakal mempertaruhkan pemain perseorangan profesional, Lee Zia Jia untuk memburu mata semangat buat Malaysia.
Zii Ji yang menghuni ranking ke-10 dunia itu bakal membuat perhitungan dengan pemain nombor dua dunia, Shi Yu Qi.
Atas kertas, Yu Qi mempunyai rekod yang baik apabila menang empat daripada lima pertemuan ke atas Zii Jia.
Bekas juara dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang mengetuai cabaran beregu negara akan menentang pasangan nombor satu dunia, Liang Wei Keng-Wang Chang.
Berdasarkan rekod sebelum ini, pasangan negara mempunyai pencapaian kurang memberangsangkan apabila menentang gadingan tuan rumah itu apabila sekadar menang sekali daripada tujuh pertemuan.
Dalam pada itu, Malaysia kekal mempertaruhkan Leong Jun Hao bagi menggalas tugas selaku perseorangan kedua dan bakal berdepan juara Sukan Asia Hangzhou, Li Shi Feng.
Kedua-dua pemain tidak pernah bertemu sebelum ini, namun menerusi ketenangan yang dimiliki Jun Hao yang berada di ranking ke-37 mampu memberi tekanan kepada Shi Feng (enam dunia) yang sudah pasti menjadi sandaran untuk mengutip mata buat China.
Naib juara Asia, Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei yang menghadiahkan mata kemenangan skuad negara ketika mengatasi Jepun dalam saingan suku akhir akan mengambil alih gelanggang menentang He Ji Tng-Ren Xiang Yu.
Sebagai rekod, pertemuan pasangan negara yang menduduki tangga ke-15 dunia dengan Yu Chen-Xuan Yi (kelapan dunia) adalah seimbang iaitu melakar kemenangan 2-2.
Sekiranya aksi separuh akhir berlarutan ke permainan terakhir, Malaysia memberi kepercayaan kepada pemain perseorangan muda, Justin Hoh yang akan bertemu Lu Guang Zu.
Congakan atas kertas, ibarat langit bumi antara Justin yang berada di kedudukan ke-233 dunia berbanding lawan menghuni tangga ke-16.
Biarpun misi itu sukar buat Justin, namun tiada yang mustahil sesuatu yang luar biasa mungkin boleh berlaku.
Malaysia mara ke separuh akhir pertama sejak kali terakhir pada edisi 2016 di Kunshan selepas mengejutkan Jepun 3-1, manakala China yang juga juara 10 kali mengatasi India 3-1 pada aksi suku akhir pada Khamis.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!