Kes tembak di Pasir Mas: Polis buru dua suspek disyaki terlibat
KOTA BHARU - Polis Kelantan sedang memburu dua suspek yang disyaki terlibat dalam kejadian tembakan di Kampung Alor Pinggan, Gelang Mas, Pasir Mas awal pagi Sabtu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, kedua-dua suspek disyaki menggunakan sebuah motosikal Yamaha Y15 ketika kejadian.
Menurutnya, polis bagaimanapun masih belum dapat mengenal pasti warganegara individu terbabit dan nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan.
"Berdasarkan laporan yang dibuat pada jam 4.42 pagi, pengadu terdengar bunyi empat das tembakan di luar rumahnya kira-kira jam 3 pagi ketika sedang tidur bersama sepupunya.
"Dia dan sepupunya kemudian terus bergegas ke pintu utama dan mendapati dua lelaki menggunakan sebuah motosikal memecut laju ke arah Bunut Susu, Pasir Mas," katanya melalui kenyataan pada Jumaat.
Tambahnya, pengadu mendapati kereta Perodua Viva warna ungu milik sepupunya di tembak pada bahagian sisi kiri cermin belakang kereta.
Muhamad Zaki memberitahu, pemeriksaan sepasukan polis di lokasi kejadian mendapati terdapat kesan tembakan pada kereta manakala kenderaan Mitsubishi Triton di tembak di bahagian fender kiri.
"Pemeriksaan di kawasan hadapan rumah itu menemui empat kelongsong peluru disyaki jenis 9 milimeter," katanya.
Bagaimanapun katanya lagi, tiada individu yang cedera dalam kejadian terbabit dan kes disiasat di bawah seksyen 39 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
"Motif kejadian juga masih disiasat," katanya.
Media sebelum ini melaporkan seorang pemandu lori terkejut dan bingung selepas mendengar tembakan di pekarangan rumahnya ketika sedang tidur dalam kejadian jam 3 pagi.
Lelaki berusia 30-an berkenaan terus bergegas melihat kawasan sekitar dan mendapati dua kenderaannya terdapat kesan tembakan.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!