Seramai 3,358 peserta sertai L'Etape Malaysia esok
SEBANYAK 3,358 peserta tempatan dan antarabangsa mengesahkan penyertaan edisi ketiga kejohanan berbasikal L'Etape Malaysia oleh Tour de France yang akan bermula di The Sail Melaka di sini esok.
Ketua Pegawai Eksekutif MUSE Group Asia, Riduwan Matni berkata, dua edisi kejohanan berbasikal tersebut yang sebelum ini diadakan di Desaru, Johor kini beralih ke Melaka dalam usaha mengembangkan jenama kejohanan basikal amatur terbesar dalam negara itu.
"Tahun ini kita merasakan sudah tiba masanya kita buat acara ini di luar Johor pula serta sempena Visit Melaka 2024.
"Daripada jumlah itu 45 peratus peserta adalah mereka yang datang dari luar negara. Jadi daripada segi pelancongan kejohanan ini antara acara yang dapat sambutan baik peserta luar,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
L'Etape menampilkan kategori ‘Elite Wave’ 140 kilometer (km), 'The Race' (140km) dan 'The Ride' (70km).
Riduwan berkata, pihaknya mempunyai perancangan untuk menganjurkan satu lagi kejohanan sama namun negeri penganjur masih di peringkat perbincangan dalam usaha mengembangkan lagi jenama L’etape ke serata Malaysia.
L'Etape de Tour ialah acara berbasikal beramai-ramai tahunan yang membolehkan penunggang basikal amatur untuk berlumba di laluan yang sama seperti peringkat Tour de France.
Selain Malaysia, siri itu kini telah berkembang ke 14 negara antarabangsa seperti China, Thailand, Mexico, Brazil dan Australia. - Bernama
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!