Jumlah mangsa banjir di Kota Tinggi meningkat
KOTA TINGGI - Jumlah mangsa banjir di daerah ini meningkat kepada 300 orang setakat jam 8 malam berbanding 88 orang pada jam 4 petang Sabtu.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata mangsa banjir daripada 69 keluarga itu ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Lintang.
"Kesemua mangsa banjir membabitkan penduduk dari Kampung Temenin Baru dan Kampung Desa Makmur.
"Bagaimanapun, lima lembangan sungai di Kota Tinggi membabitkan Sungai Johor di Rantau Panjang, Sungai Johor di Kota Tinggi, Sungai Sembilang di Kampung Sungai Sembilang, Sungai Sedili Kecil di Sedili Kecil dan Sungai Ulu Sedili Besar di Batu 52 Sedili berada pada aras normal," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, daerah Kota Tinggi menerima taburan hujan yang tinggi bermula sekitar 8 pagi sehingga jam 1 petang pada Sabtu.
"Hujan lebat menyebabkan beberapa penempatan penduduk dan jalan telah digenangi air.
"Polis Kota Tinggi mengingatkan kepada pemandu kenderaan agar sentiasa berhati-hati semasa memandu terutama di kawasan digenangi air dan mematuhi papan tanda amaran di lokasi terjejas banjir kilat," ujarnya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!