MRT 2 laluan SSP 70 peratus siap
PUTRAJAYA - Pembinaan projek Transit Aliran Massa (MRT) bagi laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) berada pada tahap 70 peratus.
Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, laluan tersebut yang dikenali sebagai MRT 2 akan memulakan operasinya pada tahun 2023 selepas siap sepenuhnya pada 2022.
"Tarikh mula operasi bagi fasa pertama antara stesen Kwasa Damansara dan Kampung Baru kekal pada Julai 2021 manakala fasa kedua antara Kampung Batu dan Putrajaya Sentral adalah Januari 2023," katanya sidang media selepas majlis menandatangani Perjanjian Tambahan kepada Perjanjian Rakan Pelaksana Projek bagi laluan itu antara Perjanjian Tambahan antara Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dan MMC-Gamuda KVMRT (PDP SSP) Sdn Bhd di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Abdul Yazid Kassim manakala MMC-Gamuda KVMRT diwakili Pengarahnya, Datuk Seri Che Khalib Mohamad Noh.
Menurutnya, perjanjian tambahan itu adalah untuk membolehkan perubahan dilakukan ke atas perjanjian rakan pelaksana projek asal yang ditandatangani pada tahun 2015.
"Perjanjian ini memuktamadkan proses rasionalisasi yang berjaya mengurangkan kos pembinaan MRT 2 sebanyak RM8.82 bilion daripada RM39.35 bilion kepada RM30.53 bilion," katanya.
Beliau berkata, pengurangan RM8.82 bilion tersebut merupakan penjimatan terbesar iaitu 22.4 peratus berbanding kos pembinaan asal MRT 2, seperti yang dirunding antara kerajaan dan MMC-Gamuda pada Oktober 2018.
"Antara penyumbang utama kepada penjimatan kos adalah penangguhan dan rasionalisasi skop kerja bawah tanah dan bertingkat seperti penundaan pembukaan stesen bawah tanah di Bandar Malaysia serta penyederhaan kemasan seni bina stesen," katanya.
Ditanya mengenai adakah stesen Bandar Malaysia akan diteruskan seperti perancangan asal, beliau berkata, ia bergantung kepada keperluan.
"Kerangka stesen masih dikekalkan namun untuk meneruskannya ia terpulang kepada permintaan di kawasan tersebut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!